1,297 Pesakit Covid-19 Pulih, 1,220 Kes Baru Direkodkan Hari Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,220 lagi kes baharu positif COVID-19, 1,297 kes sembuh dan tiga kematian dicatatkan di seluruh negara hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan perkembangan terbaharu itu jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 89,133 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 14,671 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,214 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi dengan 368 kes diikuti Kuala Lumpur yang merekodkan sebanyak 297 kes dan Sabah 184 kes.

Sebanyak 135 kes baharu yang dilaporkan hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara iaitu Kluster Penjara Jalan Harapan (98 kes), Kluster Tembok (36 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (satu kes), kata beliau.

Sementara itu tiga kematian yang dilaporkan hari ini kesemuanya lelaki berusia antara 36 hingga 81 tahun dengan latar belakang pelbagai penyakit, dua daripadanya di Sabah dan satu di Johor.

“Sehingga kini, terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 53 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Berhubung tiga kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata kluster pertama iaitu Kluster Jalan Rusa di Cheras, Kuala Lumpur melibatkan sebuah kawasan kediaman dengan 129 kes positif telah dikesan daripada saringan 1,267 individu setakat hari ini.

“Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif melalui saringan komuniti di sebuah kawasan kediaman bermula awal bulan ini. Saringan ini dijalankan selepas satu kes positif dikesan di kalangan penduduk pada penghujung Nov,” katanya.

Beliau berkata kluster kedua pula iaitu Kluster Tapak Bina Pasifik melibatkan Daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang dikesan pada 12 Dis menerusi saringan di sebuah tapak binaan, dengan 17 kes positif.

Kluster ketiga iaitu Kluster Maringkan pula melibatkan Daerah Telupid dan Ranau di Sabah dengan 11 kes positif yang mula dikesan daripada kes indeks, iaitu kes ke-70580 yang positif pada 5 Dis melalui saringan individu bergejala. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat