KOTA KINABALU — Pelaksanaan penuh hak 40 peratus pemberian khas kepada Sabah menjadi antara fokus utama Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan peningkatan hasil negeri secara berterusan, kata Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata ketegasan memperjuangkan hak tersebut di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diyakini mampu membawa lonjakan besar kepada pendapatan Sabah, sekali gus mengukuhkan kapasiti fiskal negeri bagi melaksanakan lebih banyak projek rakyat.
Armizan menegaskan momentum peningkatan hasil negeri sejak pentadbiran GRS bermula memberi keyakinan bahawa Sabah berupaya mencapai sasaran kutipan sekurang-kurangnya RM10 bilion menjelang 2030, sekiranya pelaksanaan hak 40 peratus dipenuhi sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
“Hak 40 peratus ini bukan sekadar tuntutan, ia kunci kepada peningkatan hasil negeri. Jika dilaksanakan sepenuhnya, lonjakan pendapatan Sabah akan jauh lebih besar dan dapat dimanfaatkan terus untuk pembangunan rakyat.
“Dengan landasan fiskal yang semakin kukuh, kita yakin sasaran RM10 bilion menjelang 2030 bukan sahaja realistik, malah boleh dicapai lebih awal,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa hasil negeri sejak 2021 menunjukkan peningkatan konsisten, mencatat paras tertinggi dalam sejarah moden Sabah dan menjadi asas kepada kekuatan fiskal kerajaan negeri hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan penuh hak 40 peratus akan membolehkan Sabah memperluas agenda pembangunan termasuk infrastruktur asas, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik serta program peningkatan sosioekonomi rakyat.
Armizan berkata perjuangan menuntut hak ini akan diteruskan sebagai mandat utama GRS, terutama selepas kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan tuntutan tersebut.
“Keputusan tidak merayu memberikan kedudukan tawar-menawar yang lebih kukuh kepada Sabah. Kita mahu pastikan manfaatnya diterjemahkan segera kepada rakyat.
Pelancaran manifesto GRS turut dihadiri Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan pemimpin gabungan lain, yang menekankan kesepakatan komponen untuk menjadikan pelaksanaan hak 40 peratus sebagai agenda teras pentadbiran akan datang.



