KOTA KINABALU – Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahwa kesatuan pemimpin dan ahli Umno di Sabah mantap.
Namun yang menjadi masalah adalah persepsi rakyat bahawa soal Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalannya Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tidak boleh bekerjasama.
“Masalah soal ketua dan timbalan ini diakui umum ya. Rahman sendiri mengatakan bahawa perbezaan pendapat, perbezaan pendekatan terhadap parti dan sudah tentulah dari semasa ke semasa pertelingkahan itu terbuka.
“Tapi sebenarnya bagi saya selaku Bendahari Umno, saya melihat kesatuan orang, pemimpin Sabah itu amat mantap dan cuma apa yang berlaku ialah persepsi rakyat bahawa kedua-dua pemimpin ini tidak boleh bekerjasama… itu yang berlaku.
“Baru-baru ini apabila Rahman pun diumum sebagai calon Tempasuk dia sendiri mengundur diri kerana dia kata bagi peluang kepada anak-anak muda dari Kota Belud,” katanya dalam podcast Jam Kesebelas.
Menyentuh soal dilema Pakatan Harapan (PH) dalam memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kempen pilihan raya negeri kali ini Salleh berkata, kisah perundingan di peringkat atasan tidak sampai kepada jentera akar umbi.
Ditanya sama ada Umno tidak memberi sokongan kepada calon PKR di beberapa kawasan, Salleh memberitahu, apa yang berlaku di Sabah ini ialah di mana PH mahu kerjasama dengan GRS dan PH mahu juga bekerjasama dengan BN.
“Kerjasama dengan BN adalah berasaskan apa yang telah berlaku di peringkat Pusat, di mana BN-PH kerjasama asas membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Saya terlibat dalam soal perundingan kita telah berunding beberapa kali dengan PH sehinggakan muafakat berapa kerusi harus diagih.
“PH juga ada perundingan dengan pihak GRS, tetapi apabila perundingan di peringkat atas saja tidak sampai ke bawah. Jadi di bawah tentulah banyak juga merasakan bahawa parti itu harus bertanding di kawasan tersebut, itu yang berlaku. Jadi kita tak dapat elak juga beberapa kerusi itu ada pertandingan persahabatan
“Namun, isi masalahnya jika BN bersaing dengan GRS di mana PH? Itu menjadi persoalan kepada orang-orang BN
“Apakah PH akan menyebelahi GRS ataupun BN kerana PH itu sebahagian daripada kerajaan negeri, jadi ini jadi persoalannya dan saya harap masalah ini akan dapat diselesaikan segera,” kata Salleh.



