Malaysia sedang berusaha untuk menjadi destinasi utama pelaburan global dan mencapai aspirasi ekonomi yang berdaya saing. Kejayaan ini bergantung bukan sahaja pada dasar kerajaan tetapi juga keseimbangan antara peranan negara dan pengaruh masyarakat ekonomi yang memiliki kepentingan tersendiri. Walaupun kerajaan mempunyai peranan yang signifikan dalam pembangunan ekonomi, cabaran utama yang dihadapi adalah menangani pengaruh politik dan ekonomi masyarakat elit yang memiliki kedudukan istimewa.
Penglibatan tokoh-tokoh politik dalam sektor perniagaan kini menjadi fenomena biasa di Malaysia. Ini terutama dapat dilihat dalam syarikat-syarikat konglomerat dan sektor strategik negara. Penglibatan sedemikian menimbulkan persoalan tentang konflik kepentingan dan ketidakadilan dalam peluang ekonomi, yang semakin ketara apabila individu yang berpengaruh secara politik turut memiliki kepentingan dalam syarikat yang sering menerima tender kerajaan.
Fenomena ini membawa kepada kebimbangan bahawa syarikat-syarikat yang berpotensi untuk memenangi tender kerajaan mungkin lebih mudah dikuasai oleh pihak berkepentingan, terutama dalam projek-projek besar.
Contoh 1:Tender Rangkaian 5G Kedua Malaysia
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa U Mobile berjaya memenangi tender rangkaian 5G kedua Malaysia. Keputusan ini mencetuskan spekulasi bahawa pengaruh politik mungkin berperanan dalam penawaran tender tersebut. U Mobile, yang diketahui hanya memiliki lebih 9,000 tapak di seluruh negara dan lebih 9 juta pelanggan pada 2023, secara tidak langsung dimiliki oleh Straits Mobile Investments Pte Ltd, yang dikaitkan dengan Temasek Holdings Singapura. Straits Mobile memiliki 48.26% pegangan dalam U Mobile, manakala baki saham dipegang oleh pelabur bukan Bumiputera.
Di sisi lain, CelcomDigi, yang menguasai sekitar 50% pasaran mudah alih Malaysia, sebenarnya mempunyai keupayaan yang lebih besar, dengan lebih 25,000 tapak selepas penggabungan, berbanding U Mobile yang hanya memiliki 13% pegangan pasaran. Dengan jumlah pelanggan sebanyak 20.2 juta pada suku kedua 2024, CelcomDigi sedang menyelaraskan proses integrasi dan pemodenan yang bertujuan untuk mencapai 18,000 tapak 5G menjelang akhir 2025. Dari segi kedudukan, CelcomDigi sebenarnya berada pada posisi yang lebih kuat untuk memenangi tender 5G berdasarkan skala dan infrastruktur yang lebih luas.
Pemilihan U Mobile menimbulkan persoalan mengenai asas keputusan tersebut kerana perbezaan skala syarikat ini berbanding pesaing yang lebih besar seperti CelcomDigi. Keputusan ini membawa kepada persepsi bahawa tender mungkin dipengaruhi oleh elemen luar seperti pengaruh politik, lantas menimbulkan kebimbangan mengenai ketelusan dalam proses tender kerajaan.
Contoh 2: Khazanah rugi RM600j jual Prince Court
Pada tahun 2018, di bawah terma SPA dengan PETRONAS, Khazanah mengambil alih PCMC pada harga yang dipersetujui setara dengan penilaian pasaran daripada PETRONAS Hartabina Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh PETRONAS.
Namun, setahun selepas itu Khazanah Nasional melupuskan 100 peratus pegangan dalam Prince Court Medical Centre Sdn Bhd (PCMC) kepada IHH Healthcare Bhd (IHH) bernilai RM1.02 bilion secara tunai. Pemegang saham terbesar IHH Healthcare ialah Mitsui dari Jepun.
Melalui satu laporan berita oleh Malaysia Gazette pada 19 September 2019, PCMC dijual pada harga yang rendah iaitu RM1.02 bilion berbanding RM1.08 bilion ketika dibeli oleh Khazanah, iaitu RM60 juta di bawah harga pembelian mereka. Harga jualan itu mendatangkan kerugian sebanyak RM600 juta kepada Khazanah
Sebaik mula mencatat keuntungan besar yang semakin meningkat, tiba-tiba dijual pula dengan harga lebih murah kepada syarikat swasta.
Faham-faham sendirilah, apabila dijual kepada swasta maka segala fi dan urusan perubatan akan meningkat kali ganda dan ini menjadikan hospital ini hanya untuk golongan kayangan.
Dalam isu ini, banyak pihak yang rugi. Bukan kata kerajaan dan rakyat sahaja, malah ekonomi bumiputera juga terkena impaknya.
Contoh 3: Tender Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe)
Satu lagi contoh pengaruh politik dalam proses tender ialah projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe). REDtone Communications, yang mempunyai kaitan dengan Berjaya Group Bhd, telah menunjukkan minat dalam pemilikan saham syarikat teknologi HeiTech Padu yang mungkin berpotensi memenangi tender NIISe. Dalam tempoh beberapa bulan, pegangan saham REDtone dalam HeiTech Padu meningkat daripada 5.08% kepada 6.38%, mencadangkan kemungkinan mereka ingin memperkukuhkan kedudukan untuk memenangi projek NIISe.
Selain itu, HeiTech Padu turut dimiliki oleh beberapa pemegang saham besar seperti Rosetta Partners Sdn Bhd, MyEG Services, dan Padujade Corp Sdn Bhd. MyEG Services, yang dikawal oleh ahli perniagaan terkenal Wong Thean Soon, memiliki hampir 30% saham dalam HeiTech Padu. Kehadiran pelbagai pemegang saham besar ini mencerminkan bahawa keputusan perolehan yang melibatkan projek kerajaan mungkin terdedah kepada pengaruh pihak berkepentingan.
Pengaruh politik dalam sektor korporat bukan sahaja mempengaruhi struktur pemilikan saham tetapi juga mempengaruhi keputusan strategik yang dibuat oleh syarikat-syarikat ini. Dengan pelbagai pemain utama dalam pasaran yang memiliki kaitan politik atau pengaruh ekonomi yang kuat, wujud kebimbangan bahawa keputusan tender kerajaan mungkin berpihak kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh golongan elit politik. Ini membawa kepada persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa sistem tender kerajaan kurang telus dan tidak adil, kerana lebih cenderung memberi manfaat kepada pihak yang mempunyai pengaruh politik dan ekonomi.
Contohnya, pemindahan saham kepada individu tertentu yang mempunyai pengaruh dalam bidang politik telah menjadi trend yang berkembang di Malaysia. Seringkali, saham syarikat awam dipindahkan dengan harga yang jauh lebih rendah daripada nilai pasaran, dan ini mengundang persoalan mengenai ketelusan dalam pengurusan pemilikan saham. Walaupun inisiatif pemindahan saham ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam sektor korporat, keberkesanannya masih menjadi persoalan. Contohnya, setelah krisis kewangan Asia pada tahun 1997-1998, ramai usahawan Melayu yang terlibat dalam program ini menghadapi masalah kewangan dan muflis, mencerminkan cabaran dalam pelaksanaan model pemindahan kekayaan korporat tersebut.
Kronisme, iaitu pemberian peluang perniagaan kepada individu yang rapat dengan pemimpin politik, turut memberi kesan negatif kepada sektor korporat. Dalam senario di mana hubungan keluarga atau persahabatan dengan pemimpin politik memberikan kelebihan, golongan elit ini cenderung mendapat peluang perniagaan dan kekayaan yang lebih mudah berbanding rakyat biasa. Fenomena ini meningkatkan ketidaksamaan dalam ekonomi negara dan mencetuskan ketidakpuasan masyarakat, kerana golongan elit politik memperoleh peluang yang lebih besar berbanding rakyat biasa.
Ketelusan dalam perolehan kerajaan adalah penting bagi memastikan keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap integriti sistem ekonomi. Keputusan tender yang kurang jelas, terutamanya melibatkan kontrak besar, boleh menyebabkan masyarakat menganggap bahawa peluang ekonomi hanya menguntungkan golongan tertentu yang memiliki hubungan rapat dengan kerajaan. Untuk membendung isu ini, kerajaan perlu mengamalkan dasar ekonomi yang telus dan inklusif dengan memastikan proses tender dijalankan tanpa campur tangan politik dan peluang perniagaan diagihkan secara adil.
Selain itu, usaha untuk meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, seperti meningkatkan kemahiran, menyediakan latihan, dan memberi pembiayaan secara saksama tanpa keistimewaan kepada individu atau syarikat yang memiliki hubungan politik. Dengan peningkatan ketelusan, keyakinan pelabur dan masyarakat terhadap komitmen kerajaan dalam pembangunan ekonomi yang adil dapat diperkukuh.
Dalam menghadapi cabaran ini, Malaysia perlu mengambil pendekatan yang berintegriti untuk memastikan keseimbangan antara pengaruh politik dan pembangunan ekonomi. Ketelusan dalam perolehan kerajaan dan dasar pemindahan saham yang lebih ketat adalah penting untuk mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur. Hanya dengan dasar ekonomi yang adil dan telus, Malaysia boleh membangun sebagai sebuah ekonomi yang berdaya saing di peringkat global, sambil menjamin kesejahteraan ekonomi untuk semua lapisan masyarakat.