Polis syak ada ‘orang dalam’ curi kabel ECRL

KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan wujud pembabitan ‘orang dalam’ berhubung siri kecurian kabel dan komponen yang menjejaskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata siasatan sedang dijalankan dari semua sudut memandangkan kegiatan curi itu masih berterusan meskipun beberapa tangkapan sudah dibuat.

“Siasatan sedang dijalankan dari pelbagai aspek, termasuk kemungkinan terdapat ‘orang dalam’ yang memberikan maklumat atau bekerjasama dengan pencuri.

Pasukan petugas khas sudah ditubuhkan sebelum ini untuk menangani kejadian kecurian di tapak jajaran ECRL.

“Setakat ini, kira-kira 10 individu ditangkap dan didakwa. Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada kes terbaru mempunyai kaitan dengan suspek yang ditahan sebelum ini,” lapor BH di Kuantan pada Jumaat.

Pada 14 Oktober lalu, syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) memaklumkan pencuri menyerang 24 tapak projek ECRL di Pahang dari Jun hingga 10 Oktober yang menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Susulan itu, pasukan petugas khas Polis Pahang ditubuhkan selepas Malaysia Rail Link (MRL) menyuarakan kebimbangan terhadap insiden kecurian kabel yang berulang sepanjang laluan ECRL merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Projek mega rel sepanjang 665 kilometer itu yang melalui Bentong, Temerloh, Maran dan Kuantan di Pahang, dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2027.

Bulan lalu, CCC-ECRL melaporkan 1,080 meter kabel tembaga hilang dicuri sebelum polis menahan 10 suspek, termasuk seorang warga asing dalam beberapa serbuan berasingan di Temerloh dan Bentong, dengan jumlah kerugian melebihi RM800,000.

Yahaya berkata, polis sentiasa bekerjasama rapat dengan CCC-ECRL untuk mengenal pasti dan menangkap dalang kecurian kabel berkenaan serta menamatkan kegiatan mereka.

“Pasukan petugas khas Polis Pahang mencadangkan beberapa langkah keselamatan termasuk pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu sepanjang jajaran rel.

“Pada mesyuarat bersama, kami membincangkan langkah memperkukuhkan keselamatan tapak dan akan meneruskan kerjasama rapat sehingga projek ini siap sepenuhnya.

“Orang awam juga perlu faham bahawa memotong kabel beraliran elektrik boleh mengundang risiko maut akibat renjatan elektrik,” katanya.

Yahaya berkata, pemilik dan pekerja kedai besi buruk juga dinasihat melaporkan kepada polis jika ada individu mencurigakan cuba menjual kabel tembaga atau bahan kitar semula lain.

Sementara itu, sumber berkata, polis kini sedang meneliti semua individu yang berkait secara langsung dengan projek ECRL di lokasi panas yang sudah dikenal pasti, termasuk pekerja tapak pembinaan, kontraktor pihak ketiga dan syarikat keselamatan.

“Dalam beberapa kes, suspek seolah-olah cukup arif dengan laluan dan keadaan kawasan sekitar jajaran landasan, termasuk lokasi pagar serta pintu masuk.

“Kami sudah mula mengumpul maklumat risikan bagi menjejaki mereka,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat