KUALA LUMPUR — Rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berhubung tujuh kerusi yang masih bertindih dijangka dimuktamadkan esok, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
Sumber dalaman parti memaklumkan, mesyuarat khas antara dua gabungan itu diadakan bagi memastikan tiada pertembungan calon sesama sendiri dalam blok kerajaan perpaduan negeri.
“Mesyuarat pemuktamadan akan berlangsung esok. Tujuannya untuk mencapai persetujuan terakhir supaya BN dan PH tidak bersaing di kawasan sama,” kata sumber berkenaan kepada Suara TV.
Sumber itu menjelaskan, konflik pertindihan kerusi berlaku susulan rundingan pengagihan antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang masih belum dimuktamadkan sepenuhnya, menyebabkan kekeliruan terhadap agihan sebenar di beberapa kawasan.
“Kita pun tidak tahu rundingan PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi mana yang mereka agihkan. Jadi kita hanya akan mengikut kerusi yang GRS bagi PH itu supaya tidak bertembung dengan BN.
“Esok baru kami akan muktamadkan kerusi-kerusi yang bertindih. Daripada tujuh kerusi, enam kita boleh menang. Mana kerusi yang saya boleh beri?” katanya.
Antara kerusi yang dikatakan masih bertindih ialah Gum-Gum, Segama, Sindumin, Tanjung Aru, Liawan dan Kemabong, kebanyakannya kawasan berpotensi tinggi untuk dimenangi kedua-dua gabungan.
Difahamkan, PH turut meneliti cadangan menampilkan beberapa calon daripada GRS di bawah tiket gabungan itu, terutamanya bagi memperkukuh pengaruh di kawasan pedalaman seperti Tenom dan Keningau.
Sebelum ini, kepimpinan PH memaklumkan rundingan pembahagian kerusi dengan BN berada di peringkat akhir dengan hanya beberapa kawasan belum dipersetujui bagi mengelakkan pertembungan sesama blok kerajaan.
BN Sabah pula dijangka memperkenalkan perjanjian kesetiaan calon sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak risiko pengkhianatan politik selepas pilihan raya.
Keputusan rundingan esok dijangka menjadi penentu hala tuju kerjasama BN–PH di Sabah sama ada kedua-duanya dapat bergerak sebagai satu pasukan atau terus berdepan cabaran perebutan dalaman menjelang tempoh kempen rasmi PRN.



