“Lupakan dulu bubar DUN, fokus bantu rakyat dilanda banjir” – Hajiji

KUALA LUMPUR – Semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu meletakkan fokus utama membantu rakyat yang dilanda bencana terutama tanah runtuh dan banjir pada masa ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyeru semua supaya melupakan dahulu perkara lain antaranya politik, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana kebajikan rakyat perlu diutamakan.

“Tidak mahu fikir, bubar-bubar tak mahu fikir lagi. Bubar belum lagi kami fikir. Kami fokus untuk memberi bantuan kepada mereka yang terlibat. Ini masanya untuk kita tunjukkan perbezaan politik bukan batas, kita mahu membantu.

“Dalam kita menghadapi musibah, semua pihak termasuk agensi kerajaan mesti digembleng untuk membantu. Jangan dulu kita fikir politik-politik ini. Jangan dijadikan isu itu dan ini, bantu rakyat kita dahulu,” lapor Bernama di Papar pada Rabu.

Terdahulu, beliau melawat Kampung Mook di Papar bagi menziarahi keluarga mangsa terlibat dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan Emily Johnny, 38, dan anaknya Xarell Myre Aristothle, 11, setelah tertimbus dalam kejadian pada 15 Sept lepas.

Hajiji pada lawatan itu turut menangis dan beberapa kali dilihat mengelap air matanya ketika menyantuni mereka yang terlibat, dan semasa keluarga mangsa menceritakan kepada beliau tentang kejadian yang menimpa mereka.

Beliau berkata kerajaan negeri dan Persekutuan telah mula menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat antaranya Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 bagi mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan dan BWI RM10,000 kepada waris mangsa meninggal dunia.

“Ada juga bantuan daripada Yayasan Sabah. Rumah yang runtuh itu ada tiga rumah kita bantu RM30,000 setiap rumah diharap dapat meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri dan Persekutuan juga sedang berusaha untuk memulihkan kehidupan rakyat dan negeri berkenaan yang dilanda bencana besar sebelum ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat