PORT DICKSON – Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard memberi amaran bahawa parti itu kini terperangkap dengan mainan politik pihak lawan apabila mula bersengketa dengan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS.
Dalam kenyataannya hari ini, Che’gu Bard mengingatkan bahawa beliau sejak awal menasihatkan agar Bersatu tidak masuk perangkap kerajaan dalam isu menamakan calon Perdana Menteri PN, tetapi nasihat itu ditolak malah beliau digelar “si kitol”.
“Regim mahu alih perhatian rakyat daripada kegagalan Perdana Menteri sekarang, maka diprovokasikan siapa calon ganti Anwar? Persoalan itu mudah menjadi mainan rakyat ketika mereka kecewa dengan seorang PM yang gagal,” katanya.
Beliau menempelak keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang meluluskan usul menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri tanpa berbincang dengan komponen PN lain. Menurutnya, tindak balas jurucakap Bersatu yang menyatakan ia hak parti itu menambahkan lagi ketegangan dalam gabungan.
“Akhirnya PAT Bersatu, yang sepatutnya jadi medan juarai isu rakyat, bertukar jadi medan angkuh menamakan calon PM. Siapa menegur digelar si kitol, malah diugut dengan pelbagai cara,” katanya.
Che’gu Bard juga menyifatkan tindakan jurucakap Bersatu mengaitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan istilah “Firaun” dan “Qarun” sebagai keterlaluan.
“Firaun dan Qarun bersama orang kafir, kufur nikmat Allah. Adakah menjilat sampai nak pecahkan PN dengan tuduh sahabat komponen sebagai Firaun atau Qarun? Siapa pula yang dia nak samakan dengan pemberi nikmat?” soalnya.
Menurutnya, isu ini bermula dengan segelintir orang di sekeliling Presiden Bersatu yang merosakkan imej parti. Beliau menegaskan PN harus kembali ke meja rundingan dan menumpukan perhatian kepada masalah rakyat.
“Saya khuatir rakyat akan muak dengan PN. Rakyat sedang banyak masalah, kita harus juarai isu rakyat, bukan berebut tak tentu hala. Adakah ini penyatuan ummah dan prihatin rakyat yang diperjuangkan, atau sekadar penyedap ucapan?” tegasnya.
Che’gu Bard menggesa semua pihak dalam PN belajar menghormati satu sama lain, kembali ke meja rundingan dan memfokuskan semula perjuangan kepada rakyat.- Suara.TV



