PEGAWAI pengangkutan di UK telah memperingatkan para penumpang agar tidak menggunakan ular hidup sebagai penutup wajah, ini setelah seorang penumpang bas dilihat menggunakan ular sebagai ganti topeng muka seperti yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
Lelaki itu dilihat mengangkat sebelah keningnya apabila perbuatannya melilit leher dan mulutnya dengan ular, dirakamkan semasa perjalanan bas ke Manchester, England pada Isnin.
Seorang pengembara yang menyaksikan kejadian itu memberitahu Manchester Evening News bahawa dia pada awalnya percaya bahawa ular itu adalah “topeng yang sangat funky” sehinggalah haiwan itu mula tergelincir jatuh.
“Itu pasti menghiburkan,” katanya.
Memakai penutup muka di semua pengangkutan awam adalah wajib di UK, kecuali bagi mereka yang mendapat kebenaran untuk tidak menggunakannya kerana faktor usia, kesihatan, atau kecacatan.
Foto kejadian yang disiarkan dalam talian menunjukkan bahawa lelaki yang tidak dikenali itu tidak memakai topeng muka, hanya ular itu sahaja.
Jurucakap Transport for Greater Manchester memberitahu CNN bahawa penumpang diminta agar mengikuti arahan kerajaan untuk memakai penutup muka semasa menggunakan pengangkutan awam semasa wabak koronavirus, kecuali mereka dikecualikan.
“Ini bukan topeng pembedahan … penumpang boleh membuat sendiri atau memakai sesuatu yang sesuai (sebagai topeng muka), seperti selendang atau bandana,” kata wakil itu dalam satu kenyataan.
“Walaupun ada sebilangan kecil penafsiran yang dapat diperdebatkan pada hal ini (mengenai ciri-ciri topeng muka yang sebenarnya), kami tidak percaya ini termasuk penggunaan kulit ular – terutama kulit yang masih melekat pada ular hidup.” – CNN