Sekali sudah rasa nikmat kuasa, takkan mudah dilepaskan DAP – Rafizi

KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti BERSAMA Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa DAP dilihat tidak akan mudah melepaskan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan selepas pernah ‘merasai’ nikmat kuasa melalui pelbagai jawatan yang disandang wakil parti itu.

Bekas Menteri Ekonomi itu menyifatkan, keputusan DAP itu sudah dijangka kerana sukar bagi mana-mana parti politik yang sudah mempunyai kedudukan dalam kerajaan untuk meninggalkan kuasa yang dimiliki.

“DAP ada jawatan daripada peringkat Menteri penuh, Timbalan Menteri, kemudian Ketua Menteri, Exco, wakil rakyat, kemudian Ahli Majlis dan di bawah sana, beribu-ribu orang.

“Sekali sudah rasa nikmat kuasa, takkan mudah dilepaskan kalau di Pulau Pinang seseorang itu sudah menjadi Ahli Majlis, kamu fikir mudah untuk mereka lepaskan?

“Apa yang membuatkan kamu fikir dengan mudah mereka yang mengundi (dalam persidangan DAP) akan kata, jomlah kita rasa sudah tidak serasi dengan parti ini maka kita kena keluar memegang prinsip dan kita tidak akan lagi menjadi kerajaan ini,” katanya pada Siri Jelajah Kancil Pulau Pinang lapor BH.

Rafizi berkata, beliau sejak dua hingga tiga minggu lalu sudah menjangkakan DAP tidak akan mengambil keputusan meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan akan kekal berada dalam kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Orang Umno dengan Pas sudah gembira, senyum lebar kerana menyangka kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan jatuh selepas DAP menarik diri. Saya jawab daripada awal, kamu ini macam tidak kenal orang politik,” katanya.

Beliau turut mendakwa, parti-parti besar termasuk PKR dan DAP juga kerap memainkan isu nostalgia masa lalu serta ketakutan berasaskan kaum apabila berdepan masalah sokongan pengundi berbanding mengemukakan penyelesaian terhadap permasalahan semasa.

“Jadi maksudnya, kalau kita tengok PKR sebelah sana, DAP sebelah sini, dia akan pusing-pusing semua yang diulang-ulang itu adalah benda nostalgia dia senang sembang cerita lepas, percayalah ia akan berterusan begitu.

“Sama juga dengan DAP, dia hanya boleh cakap kepada orang bukan Melayu dan ahli mereka, bahawa kalau kita tak kekal nanti kita balik macam dulu. Balik macam dulu maksudnya, jawatan tak ada, jadi parti pembangkang semula,” katanya menurut akhbar itu lagi di George Town.

Persidangan Kebangsaan DAP 2026 semalam menyaksikan 1,857 atau 88.2 peratus undi menyokong parti terus kekal dalam pentadbiran kerajaan peringkat Persekutuan manakala 242 undi atau 11.5 peratus lagi mahu DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agungnya Anthony Loke, berkata keputusan itu mencerminkan mandat jelas kepada kepimpinan parti untuk meneruskan agenda reformasi dalam kerajaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat