Projek Tagal Kampung Sosogoh buka peluang ekonomi dan ekopelancongan

- Advertisement -

NABAWAN, 17 OGOS 2024 Kampung Sosogoh di Pagalungan Nabawan kini dilihat sebagai pusat tumpuan baru dalam bidang ekopelancongan dan ekonomi komuniti berikutan pelancaran Program Rintis PINTAR oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, ini berpotensi mengubah landskap ekonomi penduduk tempatan melalui inisiatif Tagal Komuniti.

Dengan suntikan dana berjumlah RM30,000.00 daripada Program Rintis Pengukuhan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR), projek ini memperlihatkan usaha kerajaan untuk memanfaatkan sumber semula jadi bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan menjana pendapatan penduduk. Bantuan tersebut digunakan untuk membeli peralatan seperti panel solar, makanan ikan, kerusi plastik, tong sampah, dan bahan binaan untuk tandas awam.

YB Datuk Arthur Joseph Kurup menekankan pentingnya inovasi dalam mengukuhkan rantaian nilai sektor agromakanan negara. Menurut beliau, sistem tagal yang diterapkan di Kampung Sosogoh tidak hanya bertujuan untuk memelihara ekosistem sungai, tetapi juga untuk memperkasa komuniti melalui peluang ekonomi yang wujud dari program tersebut.

“Tagal Kampung Sosogoh bukan sahaja berjaya menjaga ekosistem sungai tetapi turut menunjukkan potensi besar sebagai destinasi pelancongan kerana kejayaannya menjinakkan ikan di Pensiangan. Ini memberikan kelebihan kompetitif kepada kampung ini dalam menarik pelancong, terutama dengan kemudahan infrastruktur yang sedang dibangunkan seperti jalan raya baru,” ujar beliau.

Selain itu, pelancaran benih ikan lampam sungai sebanyak 2,850 ekor yang turut diadakan semasa majlis ini, menyokong usaha pemuliharaan spesies ikan dan meningkatkan biodiversiti sungai. Sumbangan ini yang bernilai RM10,000.00 disediakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sebagai sebahagian daripada komitmen mereka terhadap konservasi sumber semula jadi.

Komitmen terhadap kejayaan Tagal Kampung Sosogoh juga diperkukuhkan dengan sumbangan tambahan daripada Jabatan Perikanan Sabah yang memberikan peralatan seperti panel solar, tong ais, dan alat menangkap ikan kepada 12 Jawatankuasa Tagal di sekitar kawasan tersebut.

Usaha bersama ini bukan sahaja dijangka meningkatkan populasi ikan dan melindungi biodiversiti, tetapi juga membuka peluang perniagaan kepada penduduk tempatan yang boleh menjalankan aktiviti ekonomi seperti gerai makanan dan cenderamata untuk pelancong.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Dato’ Haji Adnan Hussain, Ketua Pengarah DOF, Encik Azhar Kassim, Pengarah Perikanan Sabah, Encik Hasinin Kinsim, Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan, dan Encik Akat Ampaul, Pengerusi Tagal Kampung Sosogoh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat