ISU buli membabitkan selebriti Korea Selatan sememangnya cukup besar impaknya sehingga boleh meranapkan karier.
Baik kisah lama sebelum bergelar artis, ia tetap akan mencetuskan kemarahan peminat.
Demikian juga yang menimpa penyanyi Soojin. Selepas kontroversi dia dituduh pembuli sewaktu di sekolah, terbaharu agensinya Cube Entertainment mengumumkan dia akhirnya keluar dari kumpulan (G)I-DLE.
Menerusi pengumuman terbabit, agensi itu mengakui berat hati melepaskannya dan meminta maaf terhadap kontroversi membabitkan penyanyi berkenaan.
“Pertama sekali, kami ingin memohon maaf disebabkan kerisauan yang tercetus mengenai kontroversi berkaitan artis kami, Soojin. Kami ingin mengumumkan hari ini (Sabtu lalu) bahawa dia akan meninggalkan kumpulan itu.
“(G)I-DLE selepas ini akan menjalankan promosi berlima sahaja. Kami akan terus memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada (G)I-DLE untuk memajukan muzik dan persembahan mereka,” kata agensi terbabit.
Pada Februari lalu, Soojin mencetuskan kontroversi selepas dikaitkan pernah membuli sewaktu zaman sekolah.
Sekali gus, ia menimbulkan kemarahan ramai netizen selepas mengetahui hal itu.
Bagaimanapun, penyanyi terbabit mulanya menafikan dengan keras mengenai tuduhan dilemparkan terhadapnya itu.
Namun, ramai mangsa kemudian tampil bersuara dan menguatkan dakwaan terbabit.
Mereka termasuk pelakon Seo Shin-ae yang pernah bersekolah sama dengannya.
Dia dituduh membuli secara cakap kasar serta membahayakan fizikal.
Sejak tuduhan itu tersebar, Soojin serta merta berehat daripada aktiviti seninya.
Dia terpaksa menangguhkan segala promosi karier seninya dan berdiam diri sejak Mac lalu.
Selain Soojin, (G)I-DLE turut dianggotai Miyeon, Minnie, Soyeon, Yuqi dan Shuhua.
Kumpulan itu mula diperkenalkan pada 2018 dan meledak menerusi lagu Latata.
Harian Metro