Ismail Sabri Calon Terbaik Menggantikan Mahiaddin.

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Pada ketika ini sudah tentu seluruh rakyat Malaysia ternanti-nanti apakah yang akan berlaku setelah mendengar keputusan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh kabinet semalam (Isnin, 16 Ogos 2021).

Sejak Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin menghantar surat peletakkan jawatan kepada Yang Dipertuan Agong, terlalu banyak spekulasi tentang siapakah yang bakal dilantik bagi menggalas tugas pemimpin No 1 negara.

Setelah tawaran terbuka yang dibuat oleh Tan Sri Mahiaddin beberapa hari lepas kepada seluruh blok pembangkang ditolak mentah-mentah, sudah tentu langkah yang bakal diambil pada esok hari ini lebih kepada usaha untuk memperkukuhkan semula Perikatan Nasional yang telah goyah apabila penarikan beberapa Ahli Parlimen UMNO pada awal bulan ini.

Di saat ini, perkara paling sesuai untuk dibuat adalah dengan mengambil semula sokongan ahli parlimen UMNO dengan meletakkan pemimpin UMNO sebagai Perdana Menteri.

Calon yang paling sesuai pula untuk diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Ismail Sabri, yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional pada ketika ini.

Pada masa negara masih lagi belum pulih untuk mengadakan pilihanraya, kita juga tidak wajar terus bergantunt kepada kerajaan “caretaker” kerana ini akan menyekat kemampuan negara dalam pelbagai urusan, terutamanya dalam hal pengurusan perbelanjaan dan dana bagi membantu menyelesaikan masalah ekonomi dan kesihatan yang semakin meruncing.

Jika Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, diharap sokongan ahli parlimen UMNO dapat bertaut kembali kepada Kerajaan Perikatan Nasional, sekaligus melancarkan usaha pemulihan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada ketika ini.

Saya faham, ada diantara rakyat Malaysia yang begitu bencikan kerajaan kerana difikirkan apa yang dilakukan pada ketika ini tidak mencukupi untuk menstabilkan negara.

Namun, kita tidak boleh mengambil risiko dengan mengangkat pemimpin-pemimpin baharu dari blok pembangkang, kerana tiada jaminan yang mereka dapat membuat sesuatu yang lebih baik dari apa yang ada pada ketika ini.

Bayangkan sekiranya Pakatan Harapan 2.0 diangkat menjadi kerajaan, apakah mereka dapat melaksanakan tugas lebih baik, atau sepertimana pemerintahan mereka selama 22 bulan lalu, akan merosakkan lagi setiap agenda pemulihan yang telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional?

Jadi pada ketika ini, sekiranya transisi perlu berlaku, biarlah ia dilaksanakan dengan halus dan tertib. Datuk Seri Ismail Sabri adalah calon terbaik untuk diangkat menjadi Perdana Menteri sekaligus dapat menyatukan kembali UMNO yang telah berpecah kepada dua kumpulan.

Jika ada yang tidak berpuas hati, maka tunggu sahaja Julai 2022, apabila PRU-15 akan dilaksanakan. Pada ketika itu terserahlah kepada rakyat untuk memilih siapa sahaja untuk diangkat menjadi Perdana Menteri untuk memegang tampuk pemerintahan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat