PM Umum Peruntukan RM1 Juta Khidmat Guaman Bantu Keluarga Malaysia Tidak Berkemampuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim yang menawarkan khidmat guaman kepada Keluarga Malaysia yang tidak berkemampuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata yayasan yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM) itu dinamakan bersempena nama tokoh perundangan yang amat disegani selain menghargai jasa dan sumbangan tokoh berkenaan.

Beliau berkata PARFUM sebelum ini berhasrat menubuhkan klinik bantuan guaman sebagai platfom bekas mahasiswanya untuk berbakti melalui tawaran perkhidmatan guaman secara percuma atau pro bono.

“Saya amat menyokong cadangan murni ini, kerana ia senada dengan misi saya dan kerajaan untuk sentiasa membantu Keluarga Malaysia yang memerlukan bantuan guaman,” katanya dalam ucapan pada sambutan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Turut hadir Dekan Fakulti Undang-Undang UM Prof Madya Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; Presiden PARFUM Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan RM500,000 sebagai dana permulaan untuk mewujudkan Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia bagi membantu siswazah Fakulti Undang-Undang UM daripada keluarga B40.

Selain itu, bagi pembangunan semula ASEAN Legal Information Portal menerusi penjenamaan semula ASEAN Law Guide, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi merealisasikan tujuan itu.

Mengulas sambutan istimewa 50 tahun fakulti itu, Ismail Sabri yang merupakan alumni Fakulti Undang-Undang UM meluahkan rasa bangga dengan pencapai fakulti itu yang menyaksikan ramai mahasiswanya mencipta nama dalam sistem demokrasi dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kejayaan alumni Fakulti Undang-Undang UM dapat dilihat dalam badan kehakiman, sektor perundangan, pentadbiran negara, politik tanah air, badan korporat, pendidikan negara, institusi antarabangsa dan lain-lain.

“Tiga institusi penting yang menjadi tiang seri kepada sistem demokrasi negara dipimpin alumni fakulti ini iaitu Badan Eksekutif dipimpin oleh saya sebagai Perdana Menteri.

“Badan Kehakiman diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, manakala Badan Legislatif diketuai Tan Sri Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan masing-masing produk fakulti ini,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat