“Bersatu Adalah Jati Diri Saya” – Azmin Nafi Lompat Parti

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan desas-desus yang mendakwa kononnya beliau akan meninggalkan Bersatu mengikut jejak Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Azmin dalam kenyataan pada Jumaat menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri beliau.

“Saya ingin menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri saya.

“Kita akan terus bergerak sederap bersama seluruh anggota Bersatu untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, berintegriti dan komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama seluruh rakyat. Sesungguhnya, Bersatu wadah unggul untuk rakyat Malaysia,” tegas Azmin.

Baru-baru ini timbul desas-desus mendakwa beberapa ahli Bersatu antaranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon akan keluar parti.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan itu tidak berasas.

Menafikan khabar angin itu, Muhyiddin berkata beliau rapat dengan Azmin dan kerap berbincang mengenai kedudukan masa depan parti dan bukan ‘soal masuk keluar parti’, manakala pertemuannya dengan Mohd Rashid baru-baru ini ketika sambutan Hari Raya pula “tidak bercerita apa-apa selain makan ketupat”.

Azmin menambah, citra Bersatu yang dinamik, progresif dan inklusif amat bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu padu dan berupaya mendepani cabaran semasa.

“Idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat telah berjayamenjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

“Justeru, saya amat menghargai dan berterima kasih di atas kenyataan Tan SriMuhyiddin , Presiden Bersatu di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap iltizam dan komitmen saya bersama Bersatusebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat,” jelas Azmin.

Dasar dan inisiatif yang diperkenalkan Muhyiddin khususnya pakej rangsangan ekonomi yang proaktif serta keputusan pantas yang tepat pada masanya mengenai pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran telah meletakkan Malaysia di atas landasan yang kukuh dan berdaya tahan bagimenjamin kejayaan pemulihan ekonomi dan usaha menangani krisis kesihatan, kata beliau.

“Hasilnya Malaysia telah diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan
efektif dan bertanggungjawab. Kebijakan yang mesra perniagaan telah berjaya
mencipta pekerjaan dan kemakmuran untuk rakyat sekaligus merancakkan aktiviti
perniagaan dan pelaburan pasca pandemik.

“Bersatu adalah sebuah parti yang berakar dari identiti Melayu dan Bumiputera demi memelihara hak dan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam.

“Namun, sebagai wadah politik yang berpandangan jauh ke hadapan, Bersatu juga mahu mendakap realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama,” katanya

Azmin juga berkata, Bersatu telah berani melakukan anjakan paradigma dengan meminda Perlembagaan Parti untuk meraikan kepelbagaian kaum dan budaya yang akan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.