KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) bersedia meneroka bentuk kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan mana-mana parti dan pihak yang berkongsi prinsip serta wawasan sama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu kini bersedia menghadapi PRU dengan dukungan struktur dalaman dan sokongan yang telah terbina, termasuk pengalaman berada di dalam dan di luar kerajaan sebelum serta selepas PRU15.
Menurut beliau, sebagai gabungan politik yang realistik dan inklusif, PN terbuka kepada kerjasama strategik dengan pihak yang berminat bekerjasama tanpa perlu menjadi parti komponen.
“PN juga terbuka untuk meneroka bentuk-bentuk kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan mana-mana parti dan pihak yang berkongsi prinsip dan wawasan yang sama.
“Ia termasuk pihak yang berminat menjadi rakan strategik PN tanpa menjadi parti komponennya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Takiyuddin berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu yang dipengerusikan Pengerusi PN, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memutuskan idea kerjasama politik itu akan diperhalusi melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas.
Katanya, jawatankuasa tersebut akan dianggotai wakil parti-parti dalam PN bagi memperincikan terma dan syarat lengkap yang diperlukan.
Beliau berkata, pendekatan itu lebih sesuai dengan realiti landskap politik negara, selain mendukung kepentingan kerjasama politik konstruktif demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Ia juga dilihat membuka ruang kepada semua pihak dan parti untuk terlibat secara aktif dalam proses politik negara secara lebih bermakna dan sihat.
“Kerjasama ini boleh dibentuk menerusi sebuah kerjasama politik nasional yang rasmi, matang dan tertib,” katanya.
Dalam perkembangan sama, PN turut memutuskan keputusan menerima MIC sebagai parti anggota gabungan itu sebelum ini tidak lagi relevan dan terbatal.
Takiyuddin berkata, Majlis Tertinggi PN mendapati sehingga kini MIC belum memberikan kata putus berhubung keputusan kemasukannya sebagai parti anggota PN yang dibuat pada 9 Disember 2025.
Menurut beliau, PN telah beberapa kali meminta pengesahan daripada MIC, namun tiada kata putus diberikan.
“Ekoran ketiadaan pengesahan itu, selain kenyataan rasmi MIC bahawa ia tidak pernah membuat permohonan rasmi menyertai PN, maka dengan ini ditetapkan bahawa keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota PN yang dibuat sebelum ini malangnya tidak lagi relevan dan terbatal,” katanya.
Keputusan terbaharu PN itu hadir ketika landskap politik negara semakin terbuka menjelang PRU akan datang, khususnya selepas beberapa gabungan utama mula memberi isyarat untuk memperkukuh kedudukan masing-masing melalui kerjasama strategik dan persediaan menghadapi kemungkinan pertandingan pelbagai penjuru.



