Kerajaan optimis KDNK capai pertumbuhan 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2024 – MOF

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan optimis Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan akan berkembang pada kadar unjuran rasmi di antara 4.0 peratus dengan 5.0 peratus bagi 2024, didorong pertumbuhan suku pertama yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024 berkembang sebanyak 4.2 peratus (S4 2023: 2.9 peratus) didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak.

“Kadar pertumbuhan pada suku pertama 2024 mengatasi unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.9 peratus,” tambahnya.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada suku pertama 2024 membuktikan bahawa dasar kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan.

“Di sebalik kegalauan ekonomi dunia, prestasi ekonomi Malaysia kian mengukuh. Dalam tahun pertama pentadbiran, Kerajaan MADANI telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Beliau berkata kerajaan bertekad untuk menjayakan pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI.

Peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik boleh dilihat melalui rekod paras baharu FBM KLCI mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur dunia kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia, kata beliau.

MOF memaklumkan pasaran buruh mengekalkan momentum positifnya dengan jumlah pekerja meningkat 2.1 peratus kepada 16.4 juta orang manakala lebih 50,000 pekerjaan baharu telah dicipta seterusnya menyumbang kepada kadar pengangguran yang rendah iaitu 3.3 peratus.

Prestasi gaji dan upah kekal memberangsangkan dengan sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus dan pembuatan 1.2 peratus, menurutnya.

Kementerian itu menjelaskan kadar inflasi kekal rendah pada 1.7 peratus.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menokok 3.3 peratus pada suku pertama, disokong oleh momentum positif dalam semua subsektor yang dipacu oleh elektrik, perlombongan dan pembuatan, tambahnya.

Daripada perspektif sektor luaran, jumlah dagangan Malaysia berkembang sebanyak 7.1 peratus kepada RM690.6 bilion pada suku pertama 2024, didukung oleh peningkatan eksport kasar sebanyak 2.2 peratus kepada RM362.4 bilion dan import kasar sebanyak 13.1 peratus kepada RM328.2 bilion.

MOF menambah peningkatan momentum ekonomi mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik, serta diperhebat lagi dengan dasar jitu Kerajaan MADANI.

Kerangka Ekonomi MADANI, yang memeta strategi ampuh untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia serta mengenal pasti industri pertumbuhan baharu, telah mula mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara, jelasnya.

“Pertumbuhan ini turut dipacu oleh langkah-langkah ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan MADANI Kedua (2024) serta tekad kerajaan untuk membawa pendekatan pengurusan kewangan yang berhemat di samping terus memastikan kebajikan golongan rentan kekal terpelihara,” menurut MOF.

Sebagai tambahan, pelaksanaan strategi dan langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, serta inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 kekal menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri bernilai tambah tinggi, jelas MOF.

Ini sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang meningkatkan kualiti hidup rakyat, tambahnya.

“Melangkah ke hadapan, usaha akan dipergiat bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta melonjakkan produktiviti. Usaha ini bertujuan untuk memastikan dasar propembangunan ekonomi dilaksanakan seperti dirancang bagi mencapai aspirasi negara,” menurut MOF. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat