India Sekat Eksport Gandum Tak Jejaskan Bekalan Di Malaysia

KUALA LUMPUR- Bekalan tepung gandum Malaysia tidak terkesan dengan langkah India menghentikan eksport gandum,” kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut kementerian itu, Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

Justeru KPDNHEP menegaskan, larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik tidak menjejaskan bekalan tepung gandum Malaysia.

Kementerian itu menjelaskan, seramai 2,200 anggota penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan bekalan tepung bersubsidi dan tidak bersubsidi stabil di pasaran.

KPDNHEP sebelum ini dilaporkan turut menyerbu beberapa premis perniagaan di beberapa negeri selepas didapati ada peniaga sengaja menyorokkan bekalan minyak masak serta tepung gandum bersubsidi.

India pada Sabtu lalu, mengumumkan melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta, ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.

Susulan sekatan itu, harga global tepung gandum dilaporkan meningkat secara mendadak dengan harga penanda aras komoditi itu melonjak sebanyak 5.9 peratus di Chicago selain kenaikan turut dirasai di banyak lagi negara.

Di Malaysia, berdasarkan tinjauan dengan peniaga sebelum ini, biarpun bekalan tepung gandum kekal stabil, harga bagi bahan makanan ruji itu khususnya yang tidak bersubsidi menyaksikan peningkatan mendadak terutama ketika musim perayaan lalu.

Kesan kenaikan harganya itu menyebabkan berlaku kenaikan harga bagi rantaian bekalan makanan lain yang menggunakan tepung sebagai bahan asasnya.

Kerajaan sebelum ini juga memaklumkan, kenaikan harga bekalan makanan import termasuk gandum sukar dikawal memandangkan faktor kenaikannya bukan ditentukan oleh Malaysia, sebaliknya negara pembekal.

Selain sekatan eksport India, perang Ukraine – Russia juga menyebabkan gangguan kepada pembekalan gandum dunia memandangkan Ukraine dan Russia adalah antara negara pengeluaran gandum utama dunia.