Harga minyak mungkin kekal tinggi untuk tempoh lebih lama meski konflik berakhir – Gabenor BNM

KUALA LUMPUR – Harga minyak mungkin kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Dalam satu temu bual bersama CNBC, beliau berkata harga minyak berkemungkinan kekal tinggi lebih lama walaupun konflik berakhir dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Walaupun harga minyak meningkat, kita masih mempunyai subsidi bahan api untuk sebahagian rakyat di bawah BUDI95, jadi ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kesan pemindahan kos global kepada harga domestik,” katanya.

Beliau menekankan bahawa peranan Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih turut membantu menyerap kejutan bekalan semasa.

“Pengukuhan ringgit juga akan memberi sedikit kesan dalam mengurangkan pemindahan kenaikan harga, tetapi kami memantau perkara ini dengan sangat teliti,” katanya.

Walaupun susut daripada paras tertinggi, harga minyak masih kekal jauh lebih tinggi berikutan gencatan senjata yang tidak menentu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

AS kini sedang mengepung Selat Hormuz, laluan yang penting bagi penghantaran kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia.

Harga Brent, penanda aras global bagi niaga hadapan minyak mentah, kini didagangkan pada paras AS$98.50 setong, iaitu hampir 32 peratus lebih tinggi berbanding akhir tahun lalu.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata persekitaran inflasi Malaysia yang agak rendah dijangka membantu Malaysia mengharungi kejutan bekalan tenaga semasa, walaupun harga minyak global dijangka kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama susulan perang yang berterusan di Asia Barat, lapor BH pada Jumaat.

Beliau berkata, bank pusat mengunjurkan inflasi keseluruhan berada pada purata antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2026, sambil menyatakan bahawa situasi semasa mencerminkan kejutan berpunca daripada bekalan, dengan perkembangan dalam pasaran tenaga global mula mempengaruhi dinamik harga domestik.

Mengenai ekonomi domestik, Abdul Rasheed berkata sektor pelancongan mencatat pemulihan yang kukuh, melepasi paras sebelum pandemik dari segi jumlah ketibaan dan perbelanjaan, sekali gus membantu merangsang ekonomi.

“Dari segi ketibaan pelancong tahun lalu, ia agak baik. Malah, ia melepasi tahap yang kita lihat sebelum pandemik, baik dari segi jumlah ketibaan mahupun perbelanjaan pelancong itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia disokong oleh pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta asas yang berdaya tahan di tengah-tengah ketidaktentuan global.

“Prestasi pertumbuhan negara pada suku ketiga dan keempat tahun lalu melebihi unjuran, dengan ekonomi berkembang sebanyak 5.2 peratus.

“Oleh itu, kita memasuki situasi ini daripada kedudukan yang kukuh. Memasuki keadaan ini daripada kedudukan yang kukuh sememangnya membantu, tetapi yang lebih penting, kita mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk mengharungi keadaan ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pemacu utama pertumbuhan kekal utuh, dengan penggunaan swasta dan pelaburan terus menunjukkan daya tahan.

“Dari segi pemacu pertumbuhan, apa yang kita lihat tahun lalu dari segi penggunaan swasta dan pelaburan masih kukuh, dan walaupun terdapat ketidaktentuan yang kita bincangkan tahun lalu, eksport menunjukkan prestasi yang agak baik,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat