KUALA LUMPUR – Satu daripada tujuh kapal Malaysia yang membawa bahan api mengalami kerosakan dan tidak dapat berlepas dari pelabuhan di Selat Hormuz.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebuah daripada dua kapal yang melepasi selat berkenaan sudah tiba manakala satu sedang menghampiri perairan negara.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan sedang memantau keadaan lima lagi kapal yang belum melepasi Selat Hormuz.
“Satu dah sampai, satu hampir sampai, masuk dalam perairan Malaysia, dan maknanya (ada) dua, yang lain itu dengan keputusan baru walaupun dah lepas, tetapi kita masih pantau.
“Dari segi kelulusan memang Iran telah beri kelulusan kepada tujuh, tapi satu mempunyai masalah kerosakan tak boleh berlepas daripada pelabuhan.
“Tapi dengan keadaan terbaru ini kita ada hadapi masalah sedikit,” katanya menurut Harian Metro padi Cyberjaya pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan, dua kapal milik Malaysia kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia manakala lima lagi masih terkandas di Selat Hormuz susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Sementara itu, Anwar berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mewakili beliau dalam satu sidang khas antarabangsa berhubung situasi di Selat Hormuz anjuran United Kingdom dan Perancis, malam ini.
Beliau berkata, jemputan itu disampaikan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron kepadanya bagi membincangkan isu kebebasan laluan berkenaan bersama Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer.
“Saya akan wakilkan kepada Menteri Luar, Tok Mat Hasan tetapi pendirian kita ialah harus ada kebebasan laluan.
“Bagaimanapun kita tidak boleh menafikan hak Iran dan kegelisahan kita kerana tindakan Israel dan Amerika terhadap Iran dahulu.
“Jadi kita mengambil sikap yang lebih adil dan bebas,” katanya.



