KUALA LUMPUR- Semua umat Islam di Malaysia diingatkan supaya menunggu pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal bagi sambutan Aidilfitri.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal hanya akan dibuat pada jam 8 malam di semua saluran rasmi Khamis ini (20 April).
Jelas Fahmi, Malaysia hanya merujuk kepada pengumuman dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan bukan daripada pihak-pihak lain.
“Jadi kalau tuan-tuan dan puan-puan terima apa-apa info (tarikh 1 Syawal), sama ada jam 6 petang, 6.30 petang atau 7 petang jangan percaya.
Sultan Selangor minta orang ramai tak buat spekulasi tarikh Aidilfitri
“Tunggu pengumuman rasmi. Kita tidak ikut pengumuman seperti di Arab Saudi, India atau Indonesia, kecuali kita beraya di sana.
“Kita di Malaysia akan rujuk pengumuman dari Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. InsyaAllah saya percaya sambutan Aidilfitri akan jatuh pada satu Syawal. Jadi apa pun tak akan lari,” katanya.
Justeru kata beliau, semua pihak diingatkan agar bersedia dengan kemungkinan tarikh 1 Syawal yang diumumkan nanti bagi mengelak sebarang kekalutan.