Oleh Zihan Zari
IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) menerima kunjungan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) melalui satu sesi lawatan bersepadu bertujuan untuk memperkukuh koordinasi pengurusan sumber manusia dan perkhidmatan pendidikan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tertua negara, dekat sini, baru-baru ini.
PUO dalam kenyataan berkata lawatan strategik ini menjadi platform penting bagi PUO untuk membentangkan realiti operasi semasa yang melibatkan 490 staf akademik dan 141 staf bukan akademik yang menggerakkan 26 program pengajian merangkumi peringkat Asasi Teknologi Kejuruteraan, Diploma, sehingga Ijazah Sarjana Muda (WBL).
Pendedahan Teknologi dan Simulasi Perkapalan
“Selain sesi perbincangan strategik, ahli suruhanjaya SPP seramai 42 orang diketuai oleh Pengerusi SPP, Dato’ Hj. Adzman Talib; dan Setiausaha SPP, Md. Radzi Hashim, turut dibawa meninjau ke fasiliti pembelajaran berteknologi tinggi di PUO.
“Ahli rombongan berpeluang merasai pengalaman unik mengemudi kapal laut di Bilik Simulasi, Jabatan Kejuruteraan Perkapalan, yang merupakan salah satu pusat kejuruteraan maritim utama di bawah rangkaian politeknik, ”kata kenyataan itu.
“Delegasi juga dibawa melawat ke pameran C-Tech yang menampilkan inovasi canggih dengan mengaplikasikan pelbagai Teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
“Kehebatan fasiliti ini membuktikan komitmen PUO dalam mengintegrasikan teknologi IR4.0 ke dalam silibus pendidikan bagi memastikan graduan yang dihasilkan adalah kompeten dan bersifat future-proof, ”katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Pengarah PUO Dr. Hjh. Salmi Che‘ Meh turut berkata kehadiran pihak SPP mencerminkan komitmen tinggi untuk memahami realiti operasi institusi secara langsung.
Menurut beliau perancangan perjawatan yang tepat bukan sekadar memenuhi kekosongan, tetapi memastikan setiap program mempunyai kepakaran yang kompeten dan mampan bagi menjamin kualiti penyampaian TVET yang relevan dengan industri.
“Melalui lawatan bersepadu ini, PUO berharap kerjasama erat dengan SPP akan terus memantapkan ekosistem perkhidmatan pendidikan, sekali gus menyokong matlamat negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi melalui sistem pengajian yang stabil dan efisien, ”ujarnya.
Untuk rekod, PUO ditubuhkan pada 1969, merupakan institusi perintis pendidikan teknikal di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang menawarkan pelbagai program dari peringkat Sijil Khas, Diploma, Asasi Teknologi Kejuruteraan dan WBL bagi menyokong agenda pembangunan industri negara.-SUARA.TV



