Catuan bahan api : Rakyat Malaysia dinasihat tangguh dulu hasrat bercuti ke Thailand

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang bercadang bercuti ke Thailand sempena cuti Hari Raya Aidilfitri dinasihat menangguhkan hasrat itu bagi mengelak sebarang kesulitan, termasuk risiko terkandas akibat kekangan bahan api di negara berkenaan.

Memetik laporan Utusan, kebanyakan stesen minyak di Satun, Hat Yai dan beberapa kawasan tumpuan pelancong Malaysia kini berdepan kehabisan bekalan atau dicatu, ekoran konflik Asia Barat antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Peningkatan jumlah kenderaan merentasi sempadan pada musim perayaan menimbulkan kebimbangan kemungkinan pihak berkuasa Thailand terpaksa mengambil langkah drastik seperti tidak membenarkan pembelian petrol untuk kenderaan asing.

Pengusaha pelancongan, Abdul Halim Othman yang juga rakyat Malaysia menetap di Satun memberitahu, banyak stesen minyak mengehadkan pembelian bahan api iaitu 500 baht atau kira-kira RM60 bagi setiap pengisian kereta atau van.

“Manakala untuk motosikal pula hanya boleh mengisi petrol sebanyak 50 baht atau RM6 untuk setiap kenderaan. Jadi, pengguna perlu sentiasa memastikan kenderaan mereka mempunyai bekalan petrol atau diesel mencukupi sepanjang perjalanan.

“Jika ingin memandu sehingga 300 kilometer (Krabi atau Phuket) dari sempadan buat masa sekarang, pemandu perlu kerap mengisi minyak apabila paras petrol tinggal kira-kira tiga perempat tangki, jangan biarkan tangki kosong kerana kita tidak tahu apa yang boleh berlaku,” katanya kepada Utusan di Alor Setar.

Abdul Halim turut mencadangkan mereka yang belum membuat sebarang tempahan perjalanan menangguhkan dahulu percutian ke kawasan yang jauh dari sempadan.

Katanya, langkah itu dapat mengurangkan risiko berdepan kesukaran mendapatkan petrol atau diesel sekiranya berlaku gangguan bekalan di kawasan tertentu.

Sementara itu, rakyat Thailand, Hafis juga pemandu van pelancong mengakui kesukaran membeli petrol atau diesel buat masa ini.

“Banyak stesen minyak yang telah tutup sementara kerana bekalan habis dan kalau ada pun dijual mengikut kuota iaitu 500 baht untuk kereta dan 50 baht untuk motosikal.

“Malah, ada juga stesen minyak yang hanya tinggal minyak premium iaitu 43.80 baht (kira-kira RM5.30) seliter untuk diesel dan 40.40 baht (kira-kira RM4.89) untuk petrol kerana minyak yang lebih murah sudah habis,” katanya.

Katanya, dia terpaksa menangguhkan dahulu tempahan pelancong Malaysia yang mahu menggunakan perkhidmatannya.

Sementara itu, tinjauan akhbar ini di Narathiwat, Thailand mendapati, bekalan petrol semakin meruncing apabila penduduk menyerbu stesen minyak untuk menyimpan bekalan sejak beberapa hari lalu susulan konflik yang melanda Asia Barat.

Pembelian panik pengguna menyebabkan kebanyakan stesen minyak mula mengehadkan pembelian, selain setengahnya memaklumkan mereka kehabisan bekalan dan terpaksa menutup operasi.

Seorang guru, Fozan Wansaman mengakui pengguna mula merungut apabila bahan bakar itu semakin berkurangan.

Katanya, kebanyakan pemilik stesen minyak hanya memberikan jawapan sama iaitu syarikat induk pembekal mengehadkan kuota penghantaran bahan api.

“Contohnya, sebuah stesen minyak yang dahulunya menjual 16,000 liter sehari kini hanya menerima 9,000 liter daripada pembekal.

“Ini termasuk diesel serta Gasohol 91 dan 95 sehingga menyebabkan bekalan tidak mencukupi,” katanya.

Presiden Persatuan Pelanco­ngan dan Perdagangan Halal Thailand-ASEAN, Aida Oujeh pula berkata, kesan lonjakan harga dan kekurangan bekalan minyak itu turut memberi kesan kepada kedatangan pelancong ke Thailand.

Katanya, setakat ini, hanya 40 peratus sahaja tempahan hotel diterima dari pelancong Malaysia sempena musim perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata, kelaziman sempena cuti perayaan, hotel-hotel di lokasi pelancongan sekitar Thailand khususnya Hatyai sudah penuh.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat