Ramasamy juga seorang pengkhianat – Wan Rosdy

- Advertisement -

KUANTAN: Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail membidas bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P.Ramasamy dengan menggelar beliau juga seorang pengkhianat.

Tegas Wan Rosdy, Ramasamy langsung tidak layak bercakap soal pengkhianatan kerana beliau pernah mengumum keluar parti DAP dan menubuhkan parti baru setelah tidak tersenarai sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas.

“Saya merasa terpanggil untuk membidas kenyataan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mengenai isu pengkhianatan dalam parti seperti yang telah disuarakan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, semalam.

”Setelah meneliti kenyataan beliau itu, saya berpandangan P Ramasamy lebih baik berdiam diri dan menikmati alam persaraan daripada mengulas mengenai isu pengkhianatan kerana beliau sendiri telah mengkhianati partinya apabila mengumumkan keluar DAP pada 10 Ogos 2023 setelah namanya tidak tersenarai sebagai calon Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang tahun lalu.

“Malah selepas itu, beliau sendiri telah mengumumkan untuk menubuhkan parti baharu iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) pada 27 November 2023,” katanya menerusi kenyataan medianya, sebentar tadi.

Terdahulu pada kenyataan pagi tadi, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu mengingatkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga “lahir dari DNA sama”.

“UMNO bukanlah parti yang mulia untuk bercakap tentang pengkhianatan,” kata Ramasamy.

Katanya lagi, jika Asyraf Wajdi percaya bahawa Bersatu layak untuk dikhianati oleh wakil rakyat mereka, pasti ada sesuatu yang tidak kena pada UMNO sendiri.

Dalam pada itu, soal Wan Rosdy apakah seorang pengkhianat layak untuk berbicara soal pengkhianatan?

Ujar Wan Rosdy, rakyat boleh menilai sendiri siapa P Ramasamy yang sebenarnya, di mana kenyataan yang dikeluarkan beliau itu juga ibarat ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.

”Sudah-sudahlah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat semata-mata untuk meraih populariti murahan untuk kepentingan sendiri.

”Beliau harus sedar bahawa kerjasama UMNO bersama Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain adalah untuk mewujudkan kestabilan di negara ini seperti mana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mula Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas PRU-15 yang lalu.

”Alhamdulillah, dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan, kita berupaya mewujudkan sebuah politik matang yang meraikan setiap perbezaan bagi memastikan rakyat terus hidup dalam suasana yang harmoni, sejahtera dan makmur,” katanya lagi.-SUARATV

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat