Konsert ‘sold out’, Sheila gementar terlalu banyak fikir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah empat dekad dalam belantara muzik, penyanyi tersohor, Datuk Sheila Majid masih diburu risau setiap kali menjayakan konsert berskala besar.

Akui Sheila, keadaan itu berlaku apabila terlalu banyak perkara bermain dalam fikiran terutama daripada segi persiapan demi memastikan penonton berpuas hati dengan persembahannya pada Konsert Sheila Majid Big Band Live in Kuala Lumpur 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, esok.

“Biasalah apabila menjelang persembahan besar, selain teruja, saya pasti gementar kerana macam-macam perkara hendak difikirkan.

“Harapnya, konsert itu lancar tanpa masalah daripada segi aspek teknikal terutama sistem bunyi.

Selain aspek teknikal, perkara lain yang turut menjadi kebimbangan Sheila yang mendapat jolokan Ratu Jazz Negara ini adalah daripada segi interaksi bersama penonton. Foto Ihsan Sheila Majid
Selain aspek teknikal, perkara lain yang turut menjadi kebimbangan Sheila yang mendapat jolokan Ratu Jazz Negara ini adalah daripada segi interaksi bersama penonton. Foto Ihsan Sheila Majid

 

“Saya ini jenis orang yang cepat risau. Selalu bila hendak naik pentas, rasa gemuruh itu boleh tahan. Itu adalah fasa yang perlu saya lalui,” katanya kepada BH Online.

Sheila mengulas konsert yang bakal berlangsung di WTCKL, malam esok, yang cukup dinanti-nantikan peminat setia.

Selain aspek teknikal, perkara lain yang turut menjadi kebimbangan penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Jazz Negara ini adalah daripada segi interaksi bersama penonton.

“Memang nampak mudah, tetapi, hakikatnya, itulah perkara yang saya amat risau. Bukan mudah untuk saya berdiri sendirian di pentas sambil diperhatikan banyak mata.

“Menyanyi satu hal, cara saya berinteraksi juga penting. Apa yang bakal saya cakap juga akan diambil kira.

“Saya tulis skrip sendiri. Apa yang akan saya bualkan di pentas perlu ada kaitan dengan lagu dan muzik,” katanya yang akan menggayakan tiga busana, malam esok.

Sebagai ‘watak’ utama dalam konsert itu, Sheila atau nama sebenar, Shaheila Abdul Majid, 57, memberitahu, tanggungjawab dipikul cukup besar dalam menjayakan konsert yang dibawa khas oleh JioBuddy dengan kerjasama Altus Prohouse dan rakan produksi, Level Up.

“Sebenarnya, semua ini lebih kepada kerja berpasukan. Cuma, saya berada pada bahagian hadapan. Peranan saya sama seperti tukang jahit manakala mereka (pemuzik) adalah benang dan kita rajutkan.

“Saya kena bawa persembahan itu seperti tukang masak. Ini semua adalah rempah ratus dan saya kena campurkan semua bahan-bahan itu menjadi menu lengkap,” katanya berkias.

Untuk persembahan malam esok, Sheila membuat perubahan daripada segi susunan muzik, sesuai dengan tema konsert berkenaan.

“Konsep ‘big band’ ini lebih kepada menekankan kepada seksyen brass. Kami ada 23 pemain brass termasuk saksafon dan trombon.

“Big band lebih kepada gaya dan genre muzik. Kalau kita dengar, iya… Inilah muzik ‘big band’ iaitu macam muzik filem James Bond.

“Kalau ikutkan zaman sekarang, lebih kurang muzik Michael Buble. Asasnya tetap muzik jazz. Saya sangat seronok menyanyi bersama big band,” katanya yang cukup popular dengan lagu Sinaran.

Minggu lalu, Sheila membuat pengumuman di Instagram (IG) tiket untuk menyaksikan Konsert Sheila Majid Big Band Live in Kuala Lumpur 2023, habis terjual.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat