D’Masiv intai Amy Search, janji persembahan luar biasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kumpulan popular Indonesia, D’Masiv bakal mengadakan konsert perdana di Kuala Lumpur mengintai peluang berkolaborasi bersama artis dan pemuzik tempatan.

Antara nama besar yang berada dalam fikiran D’Masiv termasuklah Kugiran Masdo dan Bunkface.

Konsert D’Masiv 20AD To The World – Live In Kuala Lumpur dianjurkan Neptunes Presents buat julung kali khusus meraikan ulang tahun ke-20 perjuangan legasi muzik D’Masiv.

Kumpulan yang dianggotai oleh Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram) bakal menggegarkan lokasi berprestij, Zepp Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.

Menjelaskan rasional pemilihan dua kumpulan itu, vokalisnya, Rian Ekky Pradipta percaya dengan bakat dan kebolehan dimiliki Kugiran Masdo dan Bunkface, selain popular di media sosial.

“Buat masa ini, kami masih menyusun konsep persembahan dan mungkin ada beberapa kejutan pada konsert kali pertama di Kuala Lumpur ini.

“Tak dinafikan, kemungkinan akan ada kolaborasi antara D’Masiv dan band dari Malaysia, sama ada kumpulan baharu ataupun bertaraf legenda.

“Jika berpeluang, D’Masiv ingin mengundang Kugiran Masdo kerana mereka sangat ‘happening’ dan tular di aplikasi TikTok, Indonesia.

“Sebelum ini, D’Masiv pernah menyanyikan lagu Sahabat Selamanya yang juga lagu runut bunyi filem Boboiboy bersama Bunkface. Jadi, kalau ada peluang, kami mahu bekerjasama lagi,” katanya kepada BH Online.

 

Nabila Huda selaku penganjur konsert memberi bayangan bakal membawa bapanya yang juga penyanyi rock legenda, Amy Search beraksi bersama D’Masiv pada Jun ini. - Foto IG Amy Search
Nabila Huda selaku penganjur konsert memberi bayangan bakal membawa bapanya yang juga penyanyi rock legenda, Amy Search beraksi bersama D’Masiv pada Jun ini. – Foto IG Amy Search

 

Meskipun masih menjadi elemen kejutan, namun penganjurnya yang juga aktres terkenal, Nabila Huda seakan memberi bayangan, bintang rock legenda, Datuk Amy Search bakal menjadi tetamu undangan dalam konsert D’Masiv itu.

“Mungkin D’Masiv akan tampil berduet dengan Amy Search dalam konsert ini, siapa tahu?,” kata Nabila ketika sidang media Konsert D’Masiv 20AD To The World – Live In Kuala Lumpur secara virtual, baru-baru ini.

Mengulas perjalanan konsert, Rian berkata, D’Masiv kini sibuk membuat persiapan untuk menjayakan konsert berkenaan.

“Saya sempat menulis ciapan di Twitter dan ramai peminat yang inginkan kami hadir ke Malaysia untuk mengadakan konsert, beberapa bulan lalu. Jadi, itu membuatkan kami sangat teruja untuk mengadakan persembahan di sini.

“Sebelum ini, kami sudah beberapa kali hadir ke Malaysia, tetapi sekadar mempromosikan album dan sebagainya. Kalau buat persembahan pun, tampil bersama pemuzik lain seperti Nidji dan Geisha.

“Justeru, konsert ulang tahun ke-20 ini akan menjadi taruhan pertama kami di Malaysia. Kami teruja akhirnya dapat bertentang mata dengan peminat yang menyokong D’Masiv selama ini,” katanya.

D’Masiv bakal menghiburkan peminat menerusi antara 23 hingga 25 rangkaian lagu popular seperti Pergilah Kasih, Cinta Sampai Di Sini, Merindukanmu, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku.

Tiket konsert antara RM198 hingga RM458 boleh didapati menerusi laman web, www.startix.live bermula hari ini, jam 11 pagi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,393FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat