Khairy Jawab Anwar Ibrahim

- Advertisement -

MENTERI Sains Teknologi & Inovasi, Khairy Jamaludin dalam satu kenyataan berkata, beliau mengambil maklum serta berterima kasih di atas kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah membangkitkan beberapa persoalan berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Mengenai persoalan pertama yang telah dibangkitkan Anwar berkenaan pendaftaran vaksinasi yang tidak lengkap oleh sebanyak 1.4 juta orang pengguna, Khairy menjelaskan bahawa perkara ini telah beliau nyatakan dalam sidang media pada tengah hari semalam dimana beliau telah turut memaklumkan bahawa SMS akan dihantar kepada pengguna-pengguna ini untuk meminta agar mereka melengkapkan penilaian vaksinasi bagi membolehkan maklumat temujanji diberikan kepada mereka.

Berkenaan dengan dakwaan pendaftaran berkali-kali pula, Khairy memberitahu bahawa MySejahtera sememangnya mempunyai rekod kpendaftaran vaksinasi ketika kali pertama dibuat, justeru pengguna sebenarnya tidak perlu membuat pendaftaran berulang. Ini terbukti apabila user interface baharu yang dikeluarkan pada Sabtu lalu telah menunjukkan tarikh pengguna membuat pendaftaran pada kali pertama.

Manakala bagi program-program kesedaran melawan kumpulan anti-vaksin serta memberi keyakinan kepada orang ramai, ini sememangnya telah banyak kali dilakukan bukan sahaja oleh beliau sendiri malah oleh banyak pihak lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beberapa siri penerangan telah dilaksanakan di pelbagai platform sama ada di media massa, media cetak mahupun media sosial. Program bantuan outreach juga pada ketika ini sedang berjalan di seluruh negara bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai berkenaan kepentingan vaksin ini, katanya.

Bagi persoalan berkenaan perolehan vaksin pula, kerajaan kata Khairy, masih terikat dengan ‘non-disclosure agreement’ yang dimeterai bersama syarikat pengeluar vaksin. Walau bagaimanapun tambah beliau, Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta saya pada 5 Januari 2021 telahpun membentangkan maklumat serta perincian lanjut berkenaan perkara ini kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia. Butiran serta kertas perjanjian juga telah ditunjukkan kepada PAC. PAC menerusi kenyataan Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor dari parti DAP telah menyatakan bahawa PAC berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehahan vaksin COVID-19. Beliau menambah bahawa terdapat juga wakil PKR dalam PAC.

Ketua Pembangkang juga kata Khairy, turut membuat andaian bahawa kerajaan tidak memberi perhatian terhadap vaksin daripada negara Rusia iaitu Sputnik V. Ini jelasnya adalah tidak benar memandangkan vaksin Sputnik V sememangnya terdapat di dalam potfolio pembelian vaksin COVID-19 negara dan ketika ini sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran.

“Ketua Pembangkang juga turut membangkitkan persoalan berkenaan penglibatan penyelidik tempatan dalam pembangunan vaksin. Suka saya maklumkan bahawa MOSTI telah membiayai R&D vaksin tempatan bagi penyakit COVID-19 menerusi MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF) kepada dua kumpulan penyelidik iaitu dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Namun pada masa yang sama, kita juga mengakui bahawa Malaysia tidak mempunyai fasiliti lengkap pembuatan vaksin. Justeru, dalam rundingan pembelian vaksin COVID-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan. Maklumat berkenaan nilai tambah ini dimuatkan dalam buku panduan PICK yang boleh dimuat turun di laman sesawang www.vaksincovid.gov.my”, tambahnya lagi.

“Maklumat lanjut berkenaan PICK akan saya bentangkan di dalam sesi taklimat kepada Ahli Parlimen yang akan diadakan tidak lama lagi. Surat jemputan kepada Ahli Parlimen juga telahpun dihantar dan saya berharap Ketua Pembangkang serta Ahli Parlimen pembangkang yang lain dapat hadir ketika sesi taklimat itu nanti”.

Khairy sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pembangkang yang telah menyatakan komitmen pihak pembangkang untuk menyokong PICK ini.

“Sebagai mana yang dinyatakan sebelum ini, PICK hanya akan berjaya sekiranya mendapat sokongan serta kerjasama oleh semua pihak menerusi pendekatan whole-of-society”, jelasnya di akhir kenyataan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat