CYBERJAYA — Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menggesa agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, direhatkan sementara sepanjang tempoh siasatan terhadap kepimpinan tertinggi agensi itu.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan integriti dan kredibiliti SPRM sebagai institusi utama memerangi rasuah terus terpelihara, selain mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan.
“SPRM berdiri atas asas paling penting iaitu kepercayaan rakyat. Tanpa kepercayaan itu, apa juga siasatan dan usaha memerangi rasuah akan sentiasa dipersoalkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Akmal menegaskan bahawa dalam mana-mana negara yang serius membanteras rasuah, integriti institusi mesti mengatasi kepentingan individu. Justeru, isu utama bukan sekadar keputusan siasatan, tetapi sejauh mana proses siasatan itu diyakini bebas, telus dan berkecuali.
Beliau turut mencadangkan supaya jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan dipantau oleh badan bebas, sama ada melalui jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas yang mempunyai kredibiliti tinggi.
Langkah itu, katanya, bukan bertujuan mempertikaikan mana-mana pihak, tetapi bagi memastikan keputusan siasatan tidak dilihat sebagai situasi “kerajaan menyiasat kerajaan”.
“Ini bukan hukuman, tetapi langkah pentadbiran standard dalam institusi yang mementingkan integriti. Jika tidak bersalah, rehat sementara akan memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas dan telus,” katanya.
Beliau menambah, rakyat hari ini bukan sahaja mahu rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras.
“Ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan. Kepercayaan rakyat tidak datang melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan bahawa institusi lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya.



