Sokongan Kepada GPS Meningkat, Dijangka Menang Majoriti Dua Pertiga – Kajian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hanya berbaki dua hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember depan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat mampu memenangi majoriti dua pertiga daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Keyakinan itu disuarakan Penganalisis Sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi menerusi hasil kajian daripada Panel Penyelidikan Rentas Universiti: Sarawak Memilih 2021.

Ujarnya, berdasarkan kajian, sokongan terhadap GPS dilihat meningkat pada fasa kedua berbanding fasa pertama kajian itu.

Manakala berlaku perubahan sokongan juga terhadap parti-parti lain yang bertanding.

“Sokongan terhadap GPS dilihat meningkat sedikit sebanyak 12.3 peratus iaitu daripada 52.5 peratus semasa fasa pertama kepada 64.8 peratus pada fasa kedua.

“Sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) pula dilihat kekal pada 16.5 peratus bagi kedua-dua fasa kajian. Sokongan terhadap Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula menurun sebanyak 10.6 peratus iaitu daripada 26.4 peratus semasa fasa pertama kepada 15.8 peratus pada fasa kedua kajian,” jelasnya.

Bagaimanapun tambah Prof Madya Awang Azman, Parti Bumi Kenyalang (PBK) pula mencatatkan peningkatan sokongan sebanyak 0.1 peratus iaitu 0.7 peratus pada fasa kedua berbanding 0.6 peratus fasa pertama PRN dijalankan.

“Sokongan Pas dilihat berkurangan sebanyak 0.2 peratus iaitu 0.6 peratus pada fasa pertama kepada 0.4 peratus pada fasa kedua dan sokongan terhadap calon Bebas dilihat berkurangan sebanyak 1.4 peratus iaitu daripada 3.2 peratus pada fasa pertama kepada 1.8 peratus pada fasa kedua,” jelasnya lagi.

Kajian turut mendapati, jumlah peratusan keluar mengundi juga dijangka menurun berbanding 68 peratus pada PRN Sarawak 2016.

Klik untuk dapatkan perkembangan terkini sepanjang kempen PRN Sarawak 2021
Ujar Prof Madya Awang Azman, ia berdasarkan tiga faktor utama iaitu kebimbangan wabak COVID-19, cuaca tidak menentu serta perayaan Krismas dan cuti hujung tahun.

“Kali ini jumlah ini dijangka turun kerana terdapat tiga faktor utama, iaitu faktor kebimbangan wabak COVID-19, waktu cuaca yang kurang menentu pada waktu tengkujuh dan faktor ramai yang memilih untuk balik menyambut perayaan Krismas dan cuti hujung tahun dan awal tahun berbanding balik pada hari mengundi.

“Bagi sektor kerajaan tarikh 18hb Disember tersebut bukanlah faktor hari gaji penjawat awam dan swasta. Justeru, sekiranya mendapat peratusan undi melebihi 60 peratusan adalah satu jumlah besar dalam situasi yang dihadapi tersebut,” jelasnya lagi.

Justeru tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti politik yang bertanding perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan pengundi turun menunaikan tanggungjawab mereka pada 18 Disember depan. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,500FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat