Kak Ani beri dua nama bawa Intan Payung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keunikan melodi, lirik dan persembahan bertenaga Noraniza Idris serta pasangan duet, Bunga Isme pada pusingan awal membuahkan kejayaan apabila single Intan Payung bolos Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 (SFMM36).

Bagaimanapun, selepas pengumuman dibuat, Bunga mengumumkan Noraniza tidak dapat mendendangkan lagu itu pada SFMM yang bakal berlangsung dua hari mulai 31 Disember depan, berikutan bakal mengerjakan umrah.

Bertemu penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Pop Tradisional itu, baru-baru ini, soalan itulah diajukan kepadanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani mengesahkan dia tidak dapat menyertai SFMM36 kerana bakal berangkat ke Tanah Suci pada 21 Disember ini.

“Ketika dimaklumkan syarikat rakaman, Warner Music bahawa lagu Intan Payung tersenarai ke SFMM36, saya sudah mendapat kelulusan untuk mengerjakan umrah.

“Syarikat rakaman rasa terkilan, tetapi akur dengan keputusan ini. Mengerjakan umrah sudah menjadi impian saya. Apabila kelulusan diberi, saya tidak mahu lepaskan peluang itu.

“Lagipun, saya tidak tahu, apakah akan ada rezeki saya untuk ke Makkah pada masa akan datang jika saya tolak peluang ini,” katanya kepada BH Online.

Walaupun tidak dapat bersama Bunga mendendangkan single Intan Payung, penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Putri dan Awallah Dondang ini tidak akan lepas tangan.

Noraniza mencadangkan dua penyanyi yang disifatkan layak menggantikan tempatnya itu.

“Saya sarankan Zizi Kirana dan Shiha Zikir kepada syarikat rakaman untuk dipertimbangkan. Bagi saya, dua penyanyi ini ada kekuatan dari segi vokal dan aura penyanyi Irama Malaysia yang kuat.

“Saya percaya mereka mampu menyanyikan lagu itu dengan baik. Saya tidak hubungi mereka secara peribadi mengenai hasrat itu. Sebaliknya, saya serahkan tugas itu kepada syarikat rakaman,” kata anak kelahiran, Kluang Johor ini.

 

Timbul spekulasi Noraniza enggan terbabit dalam SFMM36 dengan sengaja memberi pelbagai alasan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Timbul spekulasi Noraniza enggan terbabit dalam SFMM36 dengan sengaja memberi pelbagai alasan. – NSTP/Asyraf Hamzah

 

Noraniza ditemui pada majlis prapelancaran Festival Perkampungan Budaya Melayu No 1 Malaysia – Malay World Cultural Paradise E-Festour AKZ 5.0 di Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim. Acara itu dianjurkan sempena Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2022.

Ketika spekulasi mengenai keengganan Noraniza terbabit dalam SFMM36 bertebaran, ramai membuat andaian penyanyi itu sudah lama tidak berminat untuk menyertai acara itu.

Disebabkan itu, Noraniza dituduh sengaja memberi pelbagai alasan agar tidak menyertai acara berkenaan.

Menafikan dakwaan itu, Noraniza menegaskan walaupun sudah lama tidak bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), malah pernah dituduh merajuk dengan acara anugerah itu, dia belum tawar hati dan terbuka.

“Bagi saya, AJL adalah rezeki. Saya tidak akan tolak rezeki. Saya tidak mahu cakap lepas menyatakan saya sudah tidak berminat menyertai Muzik-Muzik atau AJL.

“Saya bimbang kenyataan itu memakan diri. Maklum sajalah, hati kita ini boleh berbolak-balik. Apa yang saya boleh cakap, selain faktor memilih membuat ibadat, buat masa ini, saya tidak berhasrat untuk bertanding dalam mana-mana acara nyanyian,” katanya.

Noraniza berkata, ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV), dia melakukannya selepas dipujuk.

“Lagipun dengan keadaan sekarang yang tidak boleh menyanyi dengan diiringi penari ramai, saya jadi kekok.

“Kalau ada rezeki lagu ini ke pentas akhir AJL, saya tidak kisah jika penyanyi gantian itu menyanyi pada malam kemuncak.

“Alang-alang dia sudah bertungkus-lumus pada peringkat SFMM36, apa salahnya jika dia teruskan tanggungjawab itu,” katanya yang bakal muncul dengan single baharu, tahun depan.

Lagu Intan Payung dicipta Luca Sickta, Bunga dan Amzar Razqa, manakala lirik nukilan Bunga dan Siqma.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat