1,295 Kes Baru Covid-19, Tujuh Kematian Direkodkan Hari Ini

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Malaysia merekodkan 1,295 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 87,913 kes setakat ini, selain tujuh lagi kematian akibat pandemik itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata lima daripada tujuh kematian tersebut dilaporkan di Sabah serta masing-masing satu di Selangor dan Kelantan, dengan kesemua mereka berusia 52 hingga 77 tahun.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 429 kes atau 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media perkembangan harian COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata hingga 12 tengah hari ini juga sebanyak 1,052 kes sembuh dilaporkan, menjadikan keseluruhan 72,733 kes pulih sepenuhnya atau 82.7 peratus daripada kes total.

Mengulas berhubung kes baharu, beliau berkata terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula merekodkan 1,285 kes.

Katanya Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 481 kes, diikuti Sabah (268) dan Kuala Lumpur (232).

“Sebanyak 57 kes (4.4 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (26 kes), Kluster Tembok (22), Kluster Penjara Seberang Perai (8) dan Kluster Bakti (1),” katanya.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 113 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 53 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai kluster, beliau berkata setakat ini sebanyak 426 kluster telah dilaporkan termasuk lapan kluster baharu pada hari ini.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula ialah sebanyak 230 kluster termasuk satu kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Murni di Kuala Lumpur dan Selangor. Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau ialah sebanyak 196 kluster,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat