Dakwaan Anwar Hanya Sedapkan Cerita, Tidak Boleh Dipercayai – Hishammuddin

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) terutama ketika musim kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini tidak boleh dipercayai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan berkaitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dijadikan isu ceramah Anwar sepanjang tempoh berkempen PRU15.

“Setiap kata-kata yang keluar daripada mulut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada satu pun yang boleh dipercayai, malah ada yang sengaja ditokok tambah semata-mata mahu menyedapkan cerita,” katanya, dipetik dari laporan Utusan.

Malah, beliau turut mencabar Anwar menunjukkan bukti tentang setiap kenyataannya, seterusnya menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk diambil tindakan, namun hingga kini tiada apa-apa yang berlaku.

“Hubungan saya dengan semua pemimpin tertinggi di setiap pasukan sama ada Darat, Laut dan Udara adalah baik dan mereka tidak pernah dihalang untuk membawa apa-apa isu kekurangan melibatkan pasukan keselamatan itu.

“Saya sekarang ini tidak percaya apa yang Anwar Ibrahim cakap kerana kementerian sentiasa cuba memenuhi apa juga permintaan yang diperlukan oleh ATM,” katanya.

Hishammuddin yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sembrong berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pekebun Kecil Makmur Bersama Penduduk Kampung Melayu Batu 4 di Paloh, hari ini.

Memetik laporan sama, beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong menasihati pengundi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen menerusi media sosial yang boleh mengganggu penilaian mereka menjelang hari pengundian, 19 November ini.

“Pengundi muda perlu bijak membuat keputusan dan bukan bersandarkan sentimen dalam media sosial, terutamanya apa yang keluar dalam aplikasi seperti Tik Tok yang banyak menyebarkan berita kurang tepat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat