Radzi Arah Semua Institusi Pendidikan KPM Hentikan Pemeriksaan Haid

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Radzi Md Jidin tegas mengarahkan semua institusi pendidikan dibawah Kementerian Pendidikan (KPM) menghentikan sepenuhnya pemeriksaan haid pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan itu memberitahu, KPM telah mengeluarkan surat kepada semua institusi pendidikan supaya menghentikan pelaksanaan tradisi pemeriksaan haid.

” Secara umumnya, kami berjumpa hampir keseluruhan murid berada dalam dewan dapat penjelasan dan bagi sesetengah mereka menganggap tradisi yang telah dilaksanakan lama ada di antara mereka tidak tahu pun bahawa perkara ini adalah tidak patut dilaksanakan, ini penjelasan ikhlas daripada anak-anak tersebut.

” Sebab itu apabila berlaku kes itu di Kolej Vokasional ERT Setapak, Kuala Lumpur saya sendiri balik dari Sarawak pada waktu itu turun kerana kita ingin melihat sendiri apakah sebenarnya berlaku.

” Apabila satu pengesahan memang berlaku, sebab itu telah dikeluarkan surat supaya perkara itu mestilah dihentikan sepenuhnya di mana mana institusi di bawah KPM,” kata Radzi di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, kata beliau berkaitan dengan tindakan terhadap guru-guru, KPM sedang meneruskan penyiasatan sekiranya ada terbukti bahawa ada guru yang terlibat maka tindakan-tindakan yang bersesuaian akan diambil.

Pada 27 Oktober lalu, Radzi melakukan kunjungan mengejut di Kolej Vokasional Setapak, Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan berlaku amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan.

Radzi kelihatan bertanya sendiri kepada pelajar tanpa kehadiran warden mahupun guru.

Dapatan daripada sesi itu, beberapa pelajar memaklumkan bahawa mereka tidak berani untuk memberitahu sesiapa tentang amalan pemeriksaan tersebut.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob