Pengiring, Trafik Najib Masih Berkhidmat Hingga Proses Rayuan Dimuktamadkan – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR – Khidmat pengiring keselamatan dan trafik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih bertugas sehingga proses rayuan dimuktamadkan oleh mahkamah,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menurut Acryl khidmat kedua-dua tugas itu disediakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan peruntukan mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237) berhubung keistimewaan kepada bekas perdana menteri.

“Di bawah peruntukan itu, PDRM akan memberikan perkhidmatan berkenaan kepada semua bekas perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Acryl mengeluarkan kenyataan itu susulan pertikaian oleh beberapa pihak sejak akhir-akhir ini, mengenai khidmat pengiring keselamatan dan trafik untuk bekas perdana menteri berkenaan, walaupun sedang berdepan kes di mahkamah.

Sebelum ini, netizen mempertikaikan kewajaran Najib menikmati kemudahan khidmat pengiring keselamatan dan trafik, walaupun sudah dijatuhi hukuman penjara dan kini dalam proses rayuan.