Oleh Zihan Zari
SEBERANG JAYA – Technology Preview & Showcase (TPS2025) bertujuan memperkenalkan hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) teknologi nuklear tempatan kepada pemain industri serta membuka ruang jaringan strategik ke arah pengkomersilan produk dan teknologi.
Adalah menjadi tanggungjawab dan amanah bagi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) untuk terus menjadi peneraju dalam penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersilan teknologi nuklear negara.
Nuklear Malaysia merupakan agensi yang melaksanakan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 serta dasar-dasar strategik lain yang memacu kemajuan teknologi berimpak tinggi, kata Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Nuklear Malaysia), Ts. Dr. Ishak Mansor.
Dr. Ishak berkata, usaha ini seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, keterangkuman dan kemajuan bersama demi kemakmuran rakyat dan negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Promosi Bersasar : TPS2025 di Baba & Nyonya Ballroom, Hotel Ixora Perai, Bandar Perai Jaya dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Teknologi Industri Nuklear Malaysia, Dr. Rasif Mohd Zain; Pengarah Bahagian Teknologi Sisa Dan Alam Sekitar Nuklear Malaysia, Dr.Rahman Yaacop; dan Pengarah Bahagian Sokongan Teknikal Agensi Nuklear, Dr. Julia Abdul Karim.
TPS2025 disertai hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada wakil industri, syarikat swasta, agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan.
Dr.Ishak berkata, kali ini Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan yang menjadi nadi penting industri berteknologi tinggi negara, khususnya dalam sektor elektronik, semikonduktor dan perkilangan.
Kedudukannya sebagai hab perdagangan antarabangsa menjadikan negeri ini lokasi strategik untuk kita memperkenalkan produk dan perkhidmatan Nuklear Malaysia kepada rakan-rakan industri dan Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, TPS2025 tidak hanya sekadar pameran atau seminar tetapi lebih daripada itu. Ia adalah platform strategik terbaik bagi menghubungkan penyelidikan dengan pasaran, inovasi dengan pengkomersilan, serta ilmu pengetahuan dengan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, pendekatan promosi bersasar ini membolehkan impak yang lebih menyeluruh dicapai, khususnya dalam usaha membina hubungan strategik yang mampan bersama industri tempatan.
“Sebagai peneraju Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) khususnya bersama-sama jabatan dan agensinya termasuk Nuklear Malaysia akan terus memainkan peranan yang signifikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Antara tumpuan utama MOSTI adalah untuk memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteraskan misi dengan sasaran untuk mencapai perbelanjaan R&D sebanyak 2.5 peratus (%) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Malaysia berada dalam kelompok 20 negara teratas di kedudukan Global Innovation Index (GII) menjelang 2030,”katanya lagi.
“MOSTI melalui Nuklear Malaysia terus komited untuk mengarusperdanakan sains, teknologi dan inovasi dengan meneroka model kerjasama yang fleksibel untuk menarik pelaburan bagi mempercepatkan pemindahan dan pembangunan teknologi serta membudayakan penggunaan teknologi tinggi seperti teknologi nuklear.
“Untuk merealisasikan hasrat ini, MOSTI menambahbaik mekanisme perancangan dan pemantauan, melaksana program penyelidikan kebangsaan termasuklah menyediakan ekosistem R&D end-to-end (dari idea kepada pengkomersialan),”ujarnya.
“Teknologi nuklear merentasi pelbagai aspek kehidupan kita, contohnya dalam bidang pertanian, teknologi nuklear telah digunakan untuk menghasilkan varieti padi yang lebih tahan lasak terhadap perubahan iklim.
“Projek Dana Penyelidikan Strategik (SRF) adalah contoh nyata bagaimana teknologi nuklear menyumbang kepada sekuriti makanan negara.
“Dalam bidang perubatan pula, rawatan kanser menggunakan radioterapi dan diagnostik perubatan moden banyak bergantung kepada teknologi nuklear serta, ”tambahnya.
“Selain itu, dalam bidang industri, teknologi penyinaran digunakan dalam pemprosesan makanan, pensterilan produk dan meningkatkan kualiti bahan.
“Dalam bidang keselamatan dan alam sekitar pula Nuklear Malaysia memainkan peranan besar dalam pemantauan tahap radioaktif serta pengurusan sisa dijalankan dengan penuh tanggungjawab bagi melindungi masyarakat dan ekosistem.
“Kesemua ini menunjukkan bahawa teknologi nuklear bukanlah satu bidang pinggiran, tetapi teras penting dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan kelestarian pembangunan negara,”tambahnya lagi.
Dalam pada itu, kehadiran penyelidik Nuklear Malaysia di negeri ini membuka peluang untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan R&D nuklear kepada industri setempat, sekali gus membina kerjasama baharu dalam bidang berpotensi tinggi.
Berteraskan konsep pameran, pembentangan ilmiah dan sesi padanan perniagaan, TPS2025 menjadi platform efektif untuk merapatkan jurang antara teknologi nuklear dan pihak industri serta pelanggan setempat.
TPS2025 mengetengahkan hasil penyelidikan dan kepakaran penyelidik Nuklear Malaysia, mempertemukan penyelidik dengan pihak industri bagi mengenal pasti potensi penyelidikan yang menepati kehendak pasaran.
Selain itu, mengukuhkan hala tuju ke arah pengkomersilan teknologi dan meningkatkan keyakinan industri terhadap keupayaan penyelidik tempatan dalam menyelesaikan cabaran saintifik industri.-SUARA.TV



