CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memenangi saman fitnah sivil terhadap penulis dan bekas akademik Australia, Murray Victor Hunter, selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Oktober lalu memutuskan beliau bertanggungjawab atas penerbitan kenyataan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya itu.
Antara April hingga November 2024, Murray Hunter didapati menerbitkan beberapa artikel yang mengandungi kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadap MCMC. Artikel-artikel tersebut membawa tuduhan serius tanpa asas kukuh, yang menurut mahkamah berpotensi mengelirukan orang ramai serta mencemarkan reputasi institusi berkenaan.
Mahkamah dalam keputusannya menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tertakluk kepada undang-undang. Hak bersuara tidak meliputi penyebaran kenyataan palsu, berniat jahat atau berunsur fitnah yang boleh menjejaskan nama baik individu dan organisasi.
MCMC dalam kenyataannya berkata tindakan undang-undang itu diambil bagi melindungi reputasi institusi serta menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan komunikasi bertanggungjawab dalam ekosistem digital negara.
Setakat ini, jumlah ganti rugi yang diperintahkan oleh mahkamah belum diumumkan.
Sementara itu, Murray Hunter dilaporkan terus mempertahankan bahawa artikel-artikel yang diterbitkannya tidak berniat memfitnah, sebaliknya ditulis atas dasar kebebasan akademik dan hak bersuara. Beliau sebelum ini juga pernah mendakwa penahanannya di Thailand pada awal tahun ini berkait dengan tekanan pihak berkuasa Malaysia, sesuatu yang dinafikan oleh pihak berkuasa.
Keputusan Mahkamah Tinggi ini dilihat sebagai mesej tegas terhadap penyebaran maklumat palsu dan tindakan fitnah di ruang digital, serta mengukuhkan peranan MCMC dalam memastikan ekosistem komunikasi yang beretika dan bertanggungjawab di Malaysia.-SUARA.TV



