KUALA LUMPUR – Kes jenayah membabitkan insiden tikam dan kes rogol di sekolah akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Kabinet esok.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan awal berhubung perkara itu telah diadakan bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan keputusan mengenainya akan diumumkan selepas mesyuarat Kabinet.
“Berhubung kes pelajar ditikam dan kes rogol di sekolah, kita akan bincangkan secara terperinci di Kabinet esok.
“Tadi saya bincang sedikit dengan Menteri Pendidikan dan beberapa orang.
“Esok, selepas mesyuarat Kabinet, kita akan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEFB), pada Khamis.
Anwar mengulas kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan serta kesejahteraan pelajar susulan beberapa insiden jenayah membabitkan pelajar sekolah yang berlaku kebelakangan ini.
Antara kes yang mendapat perhatian ialah kejadian di Melaka minggu lalu apabila seorang pelajar perempuan disyaki dirogol secara bergilir-gilir oleh dua rakan sekolahnya.
Turut mengejutkan, tragedi pelajar perempuan tingkatan empat yang maut ditikam rakan sekolah lelaki di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, kelmarin.
Dalam perkembangan terbaharu, polis menahan empat remaja termasuk tiga pelajar sekolah atas dakwaan merogol berkumpulan seorang gadis serta berkongsi rakaman bogel mangsa secara dalam talian.
Siasatan awal mendapati keempat-empat suspek memiliki dan mengedarkan bahan lucah tersebut selain melakukan aktiviti seksual termasuk seks berkumpulan di beberapa lokasi dalam kawasan sekolah antara Mei hingga Ogos tahun ini.



