KUALA LUMPUR – Proses pilihan raya ada undang-undang, justeru Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dinasihatkan supaya tidak perlu acah menjadi hero seolah-olah memberi laluan kemenangan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh mengingatkan Shamsul Iskandar bahawa menang tetap menang dan kalah tetap kalah mengikut jalur undang-undang yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kepada Datuk Shamsul Iskandar, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, saya nak tanyalah, dulu masa kalah bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di DUN Paya Rumput… Datuk dipaksa juga ke untuk tak buat bantahan kepada SPR?
“Pilihan raya ini ada undang-undang kalau rasa boleh menang atau tidak berpuas hati buat bantahan kepada SPR pada masa yang ditetapkan,bukan buat spekulasi murahan seperti ini seolah-olah berikan kemenangan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Menang tetap menang dan kalah tetap kalah mengikut undang-undang. Tak perlu acah-acah jadi hero lah! bidas Akmal pada Rabu.
Adun Merlimau itu malah mengesyorkan agar Shamsul Iskandar bertanding sekali lagi dalam pilihan raya akan datang.
“Next pilihan raya lawanlah lagi, apa ada masalah,” gesa beliau.
Isu ini timbul apabila Shamsul Iskandar mendakwa dia diarah supaya tidak mencabar keputusan PRU15 di Bagan Datuk yang ketika itu menyaksikan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menang tipis.
Menjelaskan perkara itu dalam satu siaran podcast, Shamsul berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta beliau tidak memohon pengiraan semula dilakukan selepas dia kalah 348 undi kepada Timbalan Perdana Menteri.
Shamsul berkata, Perdana Menteri mengarahkannya untuk tidak berbuat demikian supaya kerajaan dapat dibentuk melalui kerjasama dengan Umno.
“Saya ambil jalur rasmilah, rasminya SPR umum saya kalah 348 undi…secara jujur saya dapat panggilan daripada Datuk Seri Anwar dalam pukul 2.30 pagi.
“Itu yang menarik sebab Bagan Datuk 60,000 je pengundi tapi sampai pukul 2.30 pagi. Tempat lain dah umum dah, tapi di Bagan Datuk tak umum-umum lagi.
“Saya kata kat Kak Wan (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) we want continue and fight.
“Tapi ye lah Perdana Menteri ketika itu telefon…tapi Sam (Shamsul) kita nak tubuh kerajaan, Datuk Seri Zahid telahpun keluar surat, tandangan untuk menubuhkan kerajaan ketika itu,” katanya dalam podcast itu.
Shamsul ditanya oleh moderator bahawa dia mungkin telah menang ketika itu di Bagan Datuk, namun memberi laluan kepada Zahid.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata dia mencabar keputusan itu untuk pengiraan semula kerana kekalahannya ketika itu hanya 348 undi dan undi rosak pula sekitar 800 undi.
Itu menyebabkan dia berusaha untuk membolehkan pengiraan semula undi dilakukan. Namun, Anwar mengarahkannya supaya tidak berbuat demikian.
Dakwa Shamsul Iskandar, Anwar memujuknya demi memastikan kerajaan dapat dibentuk.