KUALA LUMPUR – Pemegang saham dalam Malaysia Airports Holdings Sdn Bhd (MAHB) terutamanya Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dirayu untuk tidak menjual saham mereka di dalam MAHB kepada Khazanah dan BlackRock.
Menjelaskan rasional bantahan itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa penjualan RM11 sesaham akan merugikan penjawat awam yang majoritinya Melayu.
“Kita harus hentikan pengkhianatan ini. Saya merayu pemegang saham di dalam MAHB, terutamanya PNB dan KWAP untuk tidak menjual saham mereka di dalam MAHB kepada Khazanah dan BlackRock.
“PNB dan Amanah sahamnya seperti ASB, ASN, ASW mempunyai 81 juta saham ataupun lebih kurang 5 peratus dalam MAHB. Manakala KWAP yang menjaga pencen penjawat awam pula memiliki hampir 120 juta saham di dalam MAHB, ataupun 7 peratus.
“Justeru, saya menyeru kepada PNB dan KWAP supaya jangan jual saham ini kerana Khazanah dan BlackRock membeli pada harga murah iaitu RM11 sesaham. Dianggarkan harga nilai sebenar MAHB minimum adalah RM16 sesaham. Jika PNB dan KWAP menjual pada harga RM11, pemegang saham ASB dan penjawat awam ratanya Melayu
Islam akan rugi hampir RM1 bilion.
“Dalam erti kata lain, orang Melayu memberi subsidi atau diskaun untuk Khazanah dan BlackRock sebanyak RM1bilion,” dakwa Ketua Armada Bersatu itu dalam surat terbukanya dan sidang media di Parlimen pada Rabu.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen PN berkata, beliau dan rakan-rakan ahli Parlimen Bersatu dan Pas Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa penjualan saham MAHB yang dimiliki oleh PNB dan KWAP kepada BlackRock adalah sesuatu pengkhianatan besar kepada umat Islam, bangsa Melayu dan negara.
“Urus niaga ini hendaklah disiasat segera oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana ada banyak butiran yang jelas merugikan para pendeposit, pencarum, pelabur Melayu,Bumiputera dalam PNB, KWAP dan KWSP.
“Harga jualan RM11 sesaham adalam amat rendah berbanding nilai yang lebih adil (RM 16 sesaham) setelah mengambil kira konsesi MAHB sudah dilanjutkan sampai 45 tahun akan datang disamping kekuatan operasi MAHB dan aset-asetnya di 39 buat lapangan terbang di seluruh negara termasuk satu di Istanbul, Turkiye.
” Jangan jual kerana MAHB tidak rugi. Tahun lepas, MAHB untung lebih setengah bilion (RM534 juta). Sehingga bulan enam tahun ini, MAHB sudah untung hampir RM395 juta, peningkatan hampir 90 peratus dari tempoh sama tahun lepas. Jumlah penumpang juga naik tahun ini sebanyak 16 peratus. Pegangan tunai hampir RM2 bilion. Jangan jual!
” Saya menyeru orang Melayu yang ada saham di dalam ASB dan penjawat awam supaya mendesak PNB dan KWAP untuk tidak menjual begitu murah kepada BlackRock untuk menguasai 39 lapangan terbang di Malaysia, termasuk airport di Turkiye yang berpotensi amat besar,” ujar beliau lagi.
Wan Ahmad Fayhsal malah mengingatkan sekali lagi bahawa jika BlackRock memiliki kawalan terhadap MAHB, syarikat penyokong tegar dan penyumbang dana kepada Israel ini akan mempunyai kuasa terhadap kesemua 39 lapangan terbang di dalam negara sepanjang 45 tahun akan datang.
“MAHB juga ada pegangan tanah yang besar di KLIA.
“Usahlah kita berkomplot dengan Zionis. Jika kita masih bersama BlackRock, ini bermakna kita secara terang terangan bersama Israel membunuh kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa di Gaza,” katanya.