“Kenali Pas sebelum sertai atau serang, kami berpolitik kerana Allah” – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru masyarakat terutamanya parti lawan untuk mengenali Parti Islam Se- Malaysia (Pas) terlebih dahulu sebelum menyertainya atau menyerangnya.

Presiden Pas itu menegaskan, parti yang dipimpinnya itu berpolitik kerana Allah.

“Kenalilah Parti Islam Se-Malaysia (Pas) sebelum menyertainya atau menyerangnya.

“Politiknya kerana Allah, manakala tujuan penubuhannya tidak ada dalam kamus sekularisme dan segala ideologinya.

“(Sebaliknya) Kami ialah kumpulan yang sentiasa membaca al-Quran dan mengkaji Sunnah Rasulullah SAW yang menunjukkan cara beramal dengannya sepanjang zaman dalam majlis ilmu, liqa’ fikri, tamrin, dan usrah, di samping sentiasa menunggu untuk melaksanakan mana-mana perintah Allah yang wajib dan boleh dilaksanakan.

“Jika ada halangan, maka kami berjuang mengatasi halangan itu bagi melaksanakannya supaya menjadi bekalan dunia hingga akhirat,” jelas beliau dalam catatan Minda Presiden Pas pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hadi memberitahu, Pas menerima keahlian daripada semua peringkat ilmu dan taraf kehidupannya.

“Daripada yang paling tinggi ilmunya sehingga kalangan yang paling jahil, asalkan seseorang ahli itu berakal dan mukalaf. Ijazah ilmu yang berjela-jela atau harta yang banyak, pangkat, dan keturunan tidak ada gunanya kepada kami sekiranya tidak diterima oleh Allah, melainkan melalui amalan atau bercita-cita dengan niat kerana Allah.

“Politik Islam pula bukan ciptaan manusia. Politik Islam ialah kewajipan yang ditegaskan oleh firman Allah SWT dalam al-Quran kepada para malaikat.

“Kewajipan politik ditunaikan, khususnya apabila kaum Yahudi ahli Kitab mengkhianati amanah Allah dengan mencipta berbagai-bagai ideologi dan teori yang meninggalkan petunjuk Allah.

“Maka, Allah mewahyukan mukjizat ilmu kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada manusia di seluruh dunia, berbeza dengan para rasul sebelumnya. Walaupun tidak ada lagi rasul selepas Rasulullah SAW, kumpulan Islam atau parti Islam yang berjuang menegakkan agama Islam supaya berdaulat diadakan.

“Al-Quran dan Sunnah ialah petunjuk sepanjang zaman yang tidak hilang cahayanya,” ujar Ahli Parlimen Marang itu lagi.

Justeru katanya, Pas yang ditubuhkan oleh kumpulan Islam yang silih berganti sejak awal sehingga kini terus mempertahankan prinsip dan konsep politik Islam yang mewajibkan berjemaah dalam satu parti, yang menetapkan undang-undang tubuh atau perlembagaannya dengan ciri, rukun, dan prinsipnya yang teguh dan sedia menghadapi cabaran serta perubahan zaman dan tempat.

Tambah Hadi, Pas mengalami pasang dan surut, rebah dan bangun dalam perjalanannya.

“Namun, kekuatannya tetap bertambah, manakala pengikut yang datang lebih ramai daripada yang gugur sama ada kerana ajalnya ataupun kelemahannya sehingga ada yang dicantas oleh musuh.

“Pas hidup laksana pokok yang teguh dan kuat tunjangnya.

“Bagi menegakkan Islam yang sempurna menghadapi zaman yang berubah dan cabaran yang berbeza, Pas bertahaluf dan berta‘awun serta berlawan dan bertempur dengan sesiapa sahaja dalam masyarakat majmuk yang berada di dalam medan kerjanya.

“Namun, Pas tetap beristiqamah di atas dasar akidah perjuangan dan mampu berijtihad hukum yang tidak ada nas dalam membuat keputusan terhadap urusan kemanusiaan dan alam sekelilingnya.

“Hal ini demikian kerana, PAS dipelihara oleh pasukan Majlis Syura Ulamak yang berwibawa dan ilmuwan yang matang bagi menangani perjalanan di semua medan masyarakat majmuk dengan matang dan sejahtera,” jelas Presiden Pas itu lagi.

Ujar Hadi, Islam mewajibkan politik sebagai amanah besar daripada Allah kepada manusia.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat