GOPENG, 16 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia,Hilman Idham dipanggil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi keterangan berhubung Himpunan Solidariti Jalur Gemilang yang berlangsung di Pulau Pinang kelmarin.
Menurut kenyataan rasmi Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, Hilman menerima panggilan daripada pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman pada jam 5.30 petang, Jumaat, 15 Ogos 2025.
Pihak polis pada awalnya menetapkan temujanji untuk rakaman percakapan pada Isnin, 18 Ogos 2025, jam 10.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Penetapan itu dibuat kerana Hilman sudah dijadualkan menghadiri beberapa program di Gopeng, Perak bermula Jumaat hingga Ahad.
BACA JUGA :
Akmal dilabel Ketua Pemuda Umno terpaling PN, serang pekedai kecil demi publisiti maksimum – DAPSY
Orang ramai dilarang bertindak sendiri, serbu premis pasang bendera salah – AGC
AMK Terengganu didakwa pilih bulu , buat pekak isu bendera terbalik – Pemuda Umno Terengganu
Bagaimanapun, sekitar jam 3.00 pagi tadi, sepasukan anggota PDRM dari Bukit Aman hadir ke Gopeng dan meminta beliau hadir segera ke Balai Polis Gopeng untuk memberi keterangan.
“ARMADA dimaklumkan bahawa YB Hilman Idham kini sedang diambil keterangan di Balai Polis Gopeng. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Harris dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 3.29 pagi.
Isu berkaitan Himpunan Solidariti Jalur Gemilang di Pulau Pinang kini sedang mendapat perhatian meluas. Pihak polis sebelum ini telah memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan. -SuaraTV



