Penipu tukar kampit beras berdepan denda, penjara – Mohamad Sabu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius video yang ditularkan berkaitan dakwaan penipuan oleh pemborong beras tempatan yang membungkus semula kampit beras tempatan menjadi bungkusan kampit beras import yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, KPKM ingin memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar tidak sesekali melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan/ label beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI) dan dijual pada harga jualan runcit beras putih import (BPI).

“KPKM akan turut melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang akan dilaksanakan mulai 16 Ogos 2023. OP BPT akan memberi fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi (komersial) dan pemborong beras.

“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas Mohamad, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat kesalahan perihal satu kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] boleh dikenakan penalti.

“Individu: boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya manakala syarikat: boleh didenda sehingga RM50,000.00.

“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan beras, sila kemukakan aduan secara rasmi bersama butiran dan maklumat yang lengkap melalui saluran iaitu Kawalselia Padi dan Beras, Portal Aduan KPB : https://skpb.kpkm.gov.my/adu; E-mel Rasmi ([email protected]) dan Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya : 03-88701751/1748/1183,” katanya.

Tambahnya, untuk makluman, penguatkuasaan undang-undang berkaitan padi dan beras dilaksanakan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

“KPKM melalui KPB telah berkolaborasi secara strategik bersama Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui OP Jamin yang telah pun dilancarkan pada 7 Julai 2023.

“Sehingga 10 Ogos 2023, sebanyak 925 pemeriksaan telah dilaksanakan secara bersama-sama antara KPKM dan KPDN di seluruh negara bagi memastikan kestabilan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) sentiasa terjamin,” katanya.

Disebabkan mahu mengaut keuntungan besar, segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import.

Taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).

Mendedahkan perkara ini, Presiden Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md Radzi, berkata ada pemborong beras yang berpakat dengan mengambil kesempatan menukar kampit yang turut mengandungi label beras tempatan kepada beras import.

“Ia juga disebabkan kos yang tinggi untuk mengeluarkan beras tempatan sedangkan untuk menjual dengan harga kawalan kerajaan iaitu pada RM26 bagi 10kg adalah sukar.

“Sebenarnya dalam beras import, ada beras tempatan. Puncanya ialah kos. Kos untuk mengeluarkan beras tempatan tidak cukup dengan hanya RM2,600 satu tan, sedangkan beras import boleh dijual pada harga lebih RM2.60 sekilogram,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat