KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya mahu menjadi Prrdana Menteri semula.
Ini susulan gesaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang meminta Kerajaan Perpaduan dan PN mengikat perjanjian damai demi kestabilan politik.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi beliau berharap agar gesaan Bersih ini dipersetujui Muhyiddin bagi menghentikan sebarang langkah tebuk atap.
“Bersih gesa Kerajaan Perpaduan dan PN buat MOU demi kestabilan politik.
“PRN sudah selesai. Eloklah semua parti tumpu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Mudah mudahan Muhyiddin setuju. Hentikan sebarang langkah tebuk atap. Cukuplah. Rakyat sudah buat keputusan.
“Muhyiddin kena tunggu PRU 16 jika mahu jadi PM semula,” kata Puad dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Terdahulu, Bersih menggesa Kerajaan Perpaduan dan PN melakukan perjanjian damai susulan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu lalu.
Bersih berkata, kini adalah masa untuk semua parti politik kembali ke meja perundingan bagi membentuk perjanjian damai yang bukan sahaja kedua-dua pihak, tetapi paling utama adalah rakyat.
Menurutnya, ‘politiking’ yang berlarutan dan rancak setiap kali berlaku pilihan raya menyebabkan tumpuan kerajaan-kerajaan sebelum ini dialihkan daripada melaksana tugas mereka dan membuat rakyat kecewa.
“Pada pandangan kami, ia mengecewakan sebahagian besar rakyat Malaysia yang hanya mahu meneruskan cabaran hidup seharian.
“Isu 3R (raja, agama dan bangsa) yang sering diputarkan menegangkan hubungan antara kaum yang hidup beriringan antara satu sama lain, mengancam keharmonian dan kedamaian kita nikmati sebagai sebuah negara,” katanya.
Keputusan PRN baru-baru ini menyaksikan status quo di enam negeri iaitu Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala PN pula mengekalkan kuasa mereka di Kedah, Terengganu serta Kelantan.
Mengulas lanjut, Bersih berkata, perjanjian damai semua parti bersama pembangkang itu perlu meluas, terperinci dan meliputi 10 reformasi institusi serta penyusunan politik termasuk Akta Penggal Tetap Parlimen, pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan pengiktirafan Kabinet bayangan pembangkang.