KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menyokong usaha pergerakan pemuda UMNO Malaysia mengadakan perhimpunan khas.
Kata Isham, ketika parti dalam saat getir, kita perlu berani membuat perubahan sebelum UMNO hancur sebelum Pilihan Raya Umum-16 (PRU16).
“Saya sokong Pemuda UMNO buat perhimpunan khas.
“Kita perlu berterus terang pada diri sendiri dan berani membuat perubahan di saat getir ini, jika tidak parti kita akan hancur sebelum PRU-16.” Katanya menerusi catatan Facebooknya, pada Rabu.
Terdahulu, Pemuda Umno memilih untuk tidak berterusan meratapi kegagalan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya mencari punca kekalahan dan solusinya.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata, post-mortem diperlukan agar menjadi titik tolak perubahan Umno kepada yang lebih baik.
“Usah meratapi kegagalan yang lepas, kita perlu bangkit melakukan perubahan demi kebaikan parti ini.
“Kepada semua Pemuda Umno baik di cawangan mahupun di bahagian di seluruh negara, saya menjemput untuk hadir bersama-sama kita mencari punca kekalahan dan solusinya.
“Kita pastikan suara keramat Pemuda Umno kali ini menjadi titik tolak perubahan Umno kepada yang lebih baik,” seru Dr Akmal.
Tegas beliau, Umno milik rakyat bukan milik individu.
“Kita kembalikan zaman kegemilangan Umno yang dulu,” katanya di Facebook pada Selasa.