Titah Addendum: Najib lapor polis terhadap Terrirudin dakwaan “secara sengaja” kelirukan mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat laporan polis terhadap bekas peguam negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh berhubung isu Titah Addendum.

Dalam laporan tersebut, Najib menuduh Terrirudin “secara sengaja” mengelirukan Mahkamah Tinggi dengan menyatakan bahawa kewujudan titah tambahan diraja itu hanyalah spekulatif.

“Semasa pendengaran, Terrirudin mengarahkan peguam Persekutuan beliau untuk membantah permohonan atas alasan bahawa ia ‘bersifat spekulatif’, sekali gus memberi gambaran bahawa titah tambahan itu tidak wujud walaupun beliau sepenuhnya sedar tentang kewujudannya dan turut menyampaikan kepalsuan ini kepada mahkamah melalui surat,” kata Najib.

Shafee memfailkan laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada petang ini bagi pihak Najib.

Bulan lalu, dia memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap Terrirudin, berkata bekas peguam negara itu mempunyai pengetahuan langsung mengenai perintah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Isu ini berpunca daripada satu titah tambahan diraja bertarikh 29 Januari tahun lalu untuk membenarkan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara untuk menjalani baki hukumannya dalam tahanan di rumah.

Terrirudin merupakan peguam negara semasa Lembaga Pengampunan bersidang dan memberikan pengurangan hukuman penjara serta denda kepada Najib.

Dalam laporan tersebut, Najib menyatakan Terrirudin telah melanggar Seksyen 204 dan 209 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dokumen daripada digunakan sebagai bukti dalam prosiding semakan kehakiman serta membuat kenyataan tidak jujur di mahkamah.

“Saya dengan ini memohon agar satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap Tan Sri Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh serta mana-mana pihak yang terlibat, supaya keadilan dapat ditegakkan dan titah perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke-16 dapat dihormati serta dilaksanakan sepenuhnya,” tegasnya.

Shafee memberitahu pemberita bahawa Najib telah memohon untuk keluar sementara dari Penjara Kajang bagi membuat laporan tersebut.

“Tetapi permohonan beliau tidak mendapat apa-apa respons yang positif,” kata peguam itu, lapor Malaysiakini pada Isnin.

Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas sabit kesalahan atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta daripada SRC International, sebuah bekas anak syarikat dana kekayaan negara bermasalah 1MDB.

Najib kini bergantung kepada kewujudan perintah tambahan diraja tersebut sebagai asas permohonan sivilnya untuk memaksa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara melaksanakan tahanan rumah ke atas dirinya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat