KUALA LUMPUR – Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng mendakwa bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN) masih keliru sama ada gabungan itu akan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti atau tidak
Menurut Teik Cheng kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid bahawa BN akan terus menggunakan bendera BN pada pilihan raya umum akan datang sebenarnya tidak memberikan hala tuju yang jelas kepada BN.
“Hal ini kerana parti-parti anggota masih keliru sama ada mahu bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduanuntuk bertanding pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Teik Cheng menegaskan bahawa konsensus asas parti ahli BN ialah menggunakan bendera BN dalam pilihan raya umum, yang tidak sepatutnya menjadi persoalan atau menimbulkan keraguan sama sekali.
“Isu paling mendesak bagi ahli BN dan akar umbi ialah sama ada BN akan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan atau PH untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Persoalan inilah yang patut dijawab oleh Zahid.
“Seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon sebelum ini, MCA sebenarnya telah memberi tempoh lebih dua tahun kepada BN untuk membuat pelarasan selepas pilihan raya umum ke-15 dan merancang hala tuju untuk menentang pilihan raya umum ke-16, tetapi BN masih tidak memberikan sebarang arahan yang jelas,” ujar beliau.
Mengulas berkait keenyataan Zahid bahawa MCA berpeluang bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Teik Cheng berkata mesyuarat peringkat tinggi MCA tidak pernah membincangkan butiran khusus peruntukan kerusi dengan parti anggota BN pada pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu, Teik Cheng menyeru Zahid, selaku pengerusi BN, untuk bersama-sama berunding dan membincangkan isu peruntukan kerusi dengan parti-parti anggota BN, bukannya membuat pengumuman sahaja.
“Peruntukan kerusi kepada parti ahli BN, serta kedudukan dan hala tuju untuk bertanding, mesti diputuskan bersama oleh parti ahli BN atas semangat BN,” kata beliau.