Ekonomi rakyat belum pulih sepenuhnya, tiada GST buat masa ini – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Belum masa untuk kerajaan me­laksanakan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana ekonomi rakyat belum pulih sepenuhnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wa­laupun GST merupakan sistem percukaian yang dilihat lebih teratur dan menyeluruh, namun pelaksanaannya pada masa ini akan membebankan seluruh lapisan masyarakat terutama golongan miskin.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, jika ekonomi negara sudah pulih sepenuhnya dan gaji minimum sehingga RM4,000 ke atas, barulah sistem GST sesuai dilaksanakan.

“GST cukai terhadap semua (rakyat), walaupun kadarnya rendah tapi semua kena cukai. Adakah nelayan, pekebun kecil, pekerja bawahan seperti tukang cuci jalan juga harus dikenakan cukai?

“Sebab itu kita kata belum sedia untuk GST, kalau esok ekonomi meningkat katalah gaji minimum RM4,000 ke atas, cukailah GST pun,” katanya dalam ucapan perasmian penutup Program Madani Rakyat 2025 Perak di Lumut Waterfront di Lumut, lapor Utusan semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Kerajaan ketika ini memilih meneruskan Sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana lebih bersasar dan hanya mengenakan cukai kepada barangan tertentu, khususnya barangan import mewah.

Perdana Menteri berkata, kutipan cukai bukan untuk membebankan rakyat, tetapi sebagai sumber penting bagi membiayai keperluan asas dan pembangunan negara namun akan memastikan sistem cukai yang dilaksanakan tidak membebankan rakyat.

Anwar turut menempelak tindakan pembangkang yang memainkan isu GST sebagai modal politik tanpa memahami kesannya terhadap rakyat.

“Pembangkang kata GST efisien. Saya hendak tanya, kalau enam peratus (cukai GST) semua kena bayar, mengapa orang miskin kena bayar? Mengapa orang menganggur pergi makan pun kena bayar?

“Jadi saya minta faham, kita tangguh GST. Pembangkang hanya hendak jadikan bahan politik tidak tentu arah,” katanya.

Mengulas mengenai perang Iran Israel, Anwar berkata Iran berhak menyerangkan balas Israel sebagai tindakan mempertahankan maruah negaranya.

Tegasnya, Malaysia mempertahankan tindakan itu walaupun reaksi negara-negara Barat yang memihak kepada Israel, sangat tidak adil.
Katanya kerajaan akan terus berpegang kepada prinsip mempertahankan keadilan, maruah dan hak kedaulatan semua negara, tanpa mengira tekanan atau kecaman antarabangsa.

Anwar turut kagum dengan kemampuan Iran yang mampu bertahan walaupun dikenakan sekatan ekonomi dan tekanan antarabangsa sejak sekian lama.

Katanya, walaupun berdepan tekanan antarabangsa, Iran mampu belajar menghasilkan peluru berpandu yang boleh sampai ke Tel Aviv.

“Sebab itu saya bagi tahu Jemaah Menteri, Malaysia ini biarkan ada keupayaan. Kita negara merdeka, negara berdaulat dan kita mesti pertahankan hak sahabat-sahabat kita termasuk Iran yang dizalimi.

“Kita pertahankan hak Iran untuk serang balas mempertahankan hak mereka. Saya puji Iran, kita ada beberapa perbezaan dengan mereka tapi dia ditekan sekian lama sekatan ekonomi begitu lama namun mempunyai daya tahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap pemimpin yang melakukan rasuah dan tetap akan mengambil tindakan sekali pun mereka merupakan pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Malah tidak menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan tangkapan setiap hari terhadap pemimpin jika mereka didapati melakukan rasuah.

Beliau mengulangi ketegasan mendapatkan semula wang kerajaan yang dicuri termasuk daripada bekas pemimpin negara yang sudah bersara.

“Usaha tetap dijalankan untuk mengutip semula wang negara yang hilang akibat perbuatan rasuah tanpa mengira siapa pun bekas pemimpin tersebut.

Terdahulu pada sebelah pagi, Perdana Menteri melakukan tinjauan terhadap perkembangan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan disambut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar, sebelum diberi taklimat mengenai kemajuan semasa pembinaan lima kapal LCS.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat