Buktikan Tiada Kebocoran ‘Sumber Tanpa Nama’ Dalam SPRM – Wan Saiful

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tanggungjawab dengan membuat laporan kepada polis sekiranya berlaku kebocoran maklumat siasatan agensi itu kepada media sekiranya benar perkara tersebut tiada kaitan dengan pihaknya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan itu perlu diambil bagi membuktikan tidak wujud sebarang kebocoran ‘terpilih’.

“Baru-baru ini, saya bertanya di Dewan Rakyat berkenaan kebocoran maklumat siasatan SPRM kepada media. Perkara ini penting kerana ia boleh menimbulkan tanda tanya tentang adakah SPRM menjadi alat politik pihak tertentu.

“Ketika menjawab soalan saya, pihak kerajaan menyatakan bahawa laporan polis boleh dibuat jika berlaku kebocoran. Saya menyambut baik jawapan ini, bagaimanapun ternyata ada persoalan lain pula yang timbul.

“(Katakan) kalau nak buat laporan polis, yang sebenarnya patut buat laporan polis adalah SPRM sendiri kerana maklumat didakwa bocor daripada ‘sumber SPRM’. Siapa sumber ini? Adakah terdapat anggota yang tidak berintegriti dan membocorkan maklumat? Maka SPRM lah yang perlu membuat laporan polis sebagai tanda mereka tidak merancang dan mahu menghentikan pembocoran itu,” katanya dalam kenyatan pada Jumaat.

Tambah Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu lagi, jika tiada tindakan dibuat oleh agensi itu, secara tidak langsung ia boleh mendatangkan andaian bahawa kebocoran maklumat siasatan tersebut dilakukan oleh sumber yang dilantik SPRM sendiri.

“Jika berterusan, ada kemungkinan rakyat akan sangsi sejauh mana SPRM boleh dipercayai. Sebab itulah tanggungjawab membuat laporan adalah terletak di bahu mereka.

“Kita tidak mahu rakyat mempersoalkan integriti SPRM. Saya menyeru kerajaan dan SPRM untuk mengambil serius isu ini supaya tidak timbul tuduhan bahawa ini kebocoran yang disengajakan dan ini adalah kebocoran terpilih yang sengaja dirancang atas tujuan tertentu,” kata Wan Saiful.

Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Ramkarpal Singh berkata, individu boleh membuat laporan polis sekiranya berlaku pembocoran maklumat dalam proses siasatan yang masih berjalan dengan pihak SPRM melalui laporan-laporan berita menggunakan sumber yang tidak dinamakan.

Beliau juga menegaskan pendirian agensi anti rasuah itu sememangnya tidak membenarkan sebarang pendedahan maklumat kerana ianya juga merupakan sebahagian daripada siasatan dalam setiap kes.

“Tapi sekiranya terdapat pembocoran dan sebagainya, ini boleh ditangani dengan buat laporan polis bagi tujuan siasatan supaya boleh disiasat dengan lebih lanjut,” katanya di Dewan Rakyat.

Ramkarpal berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wan Saiful yang membangkitkan keadaan semasa di mana laporan-laporan media tempatan acap kali menyiarkan maklumat siasatan dengan mengemukakan sumber-sumber dalam SPRM tanpa nama(anonymously).

Menurut Wan Saiful, situasi itu boleh mengganggu gugat integriti agensi anti rasuah itu kerana melibatkan maklumat daripada siasatan yang masih berjalan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat