KUALA LUMPUR – Perkara terbaik, bermaruah, dan paling patriotik yang boleh dilakukan Datuk Seri Najib Razak adalah dengan menolak sebarang idea kedatangan semula politiknya sebagai Perdana Menteri bagi menyelamatkan Malaysia dari dimalukan lagi di seluruh dunia,” kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan, adakah Najib akan berbuat demikian dan adakah Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO, MCA, dan MIC akan mengisytiharkan yang mereka tidak akan sama sekali menamakan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia di masa hadapan?

Dalam pada itu Kit Siang memuji kenyataan terus terang, tepat, patriotik, dan berani Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, susulan daripada ucapan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang menitahkan bahawa semua agama mengecam rasuah yang merupakan “barah yang dapat merosakkan tamadun” dalam istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam.

“Tidak ada masa yang lebih tepat selain sekarang untuk mengingatkan rakyat Malaysia mengenai bala yang disebabkan oleh rasuah,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan pada Khamis.

Hal ini katanya secara rasmi, kepimpinan tertinggi UMNO telah mengesahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Lazimnya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seorang Perdana Menteri berdasarkan pendapat Seri Paduka mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Pada 14 Jun baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.

Memetik sebagaimana catatan sejarah Melayu ‘Sulalatus Al-Salatin’, titah Seri Paduka, Tun Sri Lanang meriwayatkan bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka yang terbina ratusan tahun lamanya akibat perbuatan rasuah Bendahara Maharaja.

“Justeru, para mahasiswa hari ini yang bakal mewarisi tamadun negara hendaklah ditanam dan dibentuk dengan nilai jati diri yang tinggi serta karakter individu yang sentiasa jujur dan amanah,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-93 di Shah Alam.

Jelas baginda, pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat bermula daripada bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading.