KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran supaya peniaga tidak menaikkan harga ayam dengan keterlaluan susulan penamatan Penentuan Harga Maksimum Ayam, hujung bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang jika menerima aduan kenaikan drastik harga bekalan terbabit.

“Kita sudah umumkan bahawa selepas Jun ini, harga ayam akan diapung tertakluk kepada bekalan dan permintaan.

“Bagaimanapun, ia bukan bermakna apabila kita apungkan harga ayam, ia dibiar begitu sahaja kerana kita terus pantau dan jika ada aduan, ada pencatutan selepas siasatan, KPDNHEP akan bertindak gunakan akta sedia ada,” katanya memetik BH di Putrajaya, pada Khamis.

Bermula 1 Julai ini, kerajaan tidak lagi akan memberi subsidi kepada penternak ayam sebaliknya ia akan disalur secara langsung kepada rakyat yang dianggap lebih memerlukan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi memastikan bebanan kenaikan harga ayam tidak terlalu dirasai dengan adanya sumbangan tunai daripada kerajaan.

Perdana menteri berkata sebelum ini dalam usaha memastikan harga ayam tidak dinaikkan, kerajaan memberi subsidi kepada penternak agar harga ayam kekal pada paras RM8.90 sekilogram kerana ia boleh mencecah RM12 sekilogram, jika harganya diapungkan.

“Kerajaan belanja RM720 juta bagi memastikan harga ayam tidak dinaikkan. Walau bagaimanapun, ramai dalam kalangan penternak tidak menuntut bayaran subsidi dan pelbagai isu dibangkitkan,” katanya.